Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

4,864 Orang Peroleh Pekerjaan Melalui PERKESO

By 25 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juslie Bacle/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)

TUARAN, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Dalam tempoh sembilan bulan pada tahun ini, seramai 4,864 orang berjaya memperolehi pekerjaan di Sabah hasil inisiatif kerjasama kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, memaklumkan seramai 7,141 rakyat negeri ini berjaya kembali bekerja berdasarkan statistik yang dikeluarkan PERKESO Sabah pada tahun 2020.

“Inisiatif yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui PERKESO di bawah Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) memberi impak yang positif sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.

“Ini merupakan satu langkah yang amat baik dalam proses negara memulihkan serta merancakkan kembali ekonomi negara dan kerajaan sememangnya sudah bersedia berhadapan dengan isu pemberhentian kerja dan pengangguran ketika menghadapi pandemik COVID-19,” jelasnya.

Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kerjaya Urban Poor Peringkat Negeri Sabah 2021 di Dataran Astaka Padang Tuaran, di sini semalam.

Hajiji (tengah) melakukan gimik perasmian karnival sambil diperhatikan oleh Jahid (kiri) dan Dr Mohd Ali (kanan).

Hajiji (tengah) melakukan gimik perasmian karnival sambil diperhatikan oleh Jahid (kiri) dan Dr Mohd Ali (kanan).

Tambah beliau, dalam tempoh pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga September 2021, PERKESO Sabah telah berjaya menganjurkan sebanyak 307 aktiviti temuduga iaitu 267 temuduga secara maya dan 40 aktiviti secara fizikal yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai industri dan majikan.

“Sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, PERKESO telah menjalin kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri dalam membantu menstabilkan dan menguruskan hal berkaitan pasaran buruh menerusi aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan secara berterusan.

“Saya melihat usaha ini akan membantu lebih ramai belia dan lepasan sekolah di negeri ini untuk mendapat peluang pekerjaan termasuk dalam pelbagai sektor industri.

Gambar Hajiji (tengah) menyampaikan peralatan pemulihan dan insurans PERKESO kepada salah seorang penerima.

Gambar Hajiji (tengah) menyampaikan peralatan pemulihan dan insurans PERKESO kepada salah seorang penerima.

“Pada hari ini sempena program Karnival Kerjaya Urban Poor terdapat lebih 1,000 kekosongan jawatan ditawarkan di mana 15 buah majikan mengambil bahagian dalam program temuduga pada karnival ini,” ujar beliau.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Lumai@Bangkuai, Pembantu Menteri Kewangan Jasnih Daya, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Matbali Musah, Pengarah PERKESO Sabah Dr Mohd Ali Hindia dan Pegawai Daerah Tuaran Sadan Hussain.

-RI

Tinggalkan komen anda