Laporan/foto: Marianne Inya Thomas (Sarawak)
KUCHING, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Usaha kerajaan menubuhkan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) khusus untuk memajukan hasil tenunan, anyaman dan kraf tangan yang lain diharap dapat menembusi pasaran antarabangsa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata produk kraf tangan seperti tenunan dan anyaman mempunyai keaslian dari sudut rekaan etnik.
“Produk sebegini tidak ternilai harganya, ia merupakan hasil seni kraf tangan yang kreatif untuk dipromosikan sebagai barangan yang digemari pengumpul.
“Saya melihat kreativiti dalam kalangan komuniti rumpun masyarakat di Sarawak ini menunjukkan pemikiran yang maju ke hadapan kerana mereka mengambil initiatif menghubungi pengeluar produk, merekrut pelatih dan memberi latihan menenun songket dan anyaman kraf tangan.
“Saya bangga dengan hasil tinjauan ini, di mana CENDANA perlu banyak mewujudkan dan membawa banyak perubahan yang bersifat contemplate kepada usahawan-usahawan tempatan supaya hasil seni mereka menembusi pasaran antarabangsa,” katanya semasa lawatan kerja ke Tanoti House, di sini baru-baru ini.
Menurut Presiden Persatuan Penggiat Kesenian dan Kraftangan Sarawak Jacqueline Fong, Tanoti House merupakan penerima manfaat daripada Program Pembiayaan Ketahanan Organisasi Seni daripada CENDANA.
“Maksud Tanoti ialah menenun dalam Bahasa Sanskrit serta berdedikasi dalam menghasilkan, mengembangkan serta mempromosi fabrik buatan tangan komuniti pereka dan penenun di Sarawak.
“Tanoti juga bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup dan kehidupan kaum wanita dan masyarakat luar bandar melalui seni tenun songket kuno,” katanya.
Menurut Jacqueline, hasil bengkel penyelidikan dan pembangunan yang ditubuhkan oleh yayasan yang ditubuhkan oleh Sultanah Nur Zahirah yang pada ketika itu merupakan Permaisuri Agong pada tahun 2008 menerusi Yayasan Tuanku Nur Zahirah berjaya melahirkan kumpulan penenun wanita dari Sarawak.
“Bermula dengan 15 orang pelatih penenun songket pada tahun 2015, kini kami mempunyai 482 artisan yang datang daripada seluruh Sarawak bernaung bawah Tanoti House,” katanya.
-ZS-