Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Daftar Anak OKU Elak Keciciran Kemudahan Kerajaan

By 9 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Ibu bapa disaran mendaftarkan anak orang kurang upaya (OKU) bagi mengelakkan golongan itu tercicir daripada pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Labuan Rasil Hajatil, masih ramai yang tidak menyedari kepentingan mendaftarkan golongan OKU ini dengan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).

“Daripada 4.7 juta OKU di dalam negara, hanya kira-kira 593,000 yang berdaftar sehingga tahun 2020, ini menyebabkan mereka gagal mendapatkan hak untuk keboleh capaian bagi pendidikan dan kesihatan.

“Pendaftaran OKU sangat penting bagi membantu kerajaan dalam merancang program pembangunan meliputi aspek pemulihan, latihan dan pendidikan serta menyediakan sistem sokongan merangkumi perkhidmatan dan kemudahan yang sesuai untuk OKU,” katanya semasa merasmikan Program MyCEKAP Kesedaran Awam: Sokongan Terhadap Pengehakupayaan OKU yang dilaksanakan secara maya, semalam.

Rasil semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Rasil semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Jelasnya, pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan Pusat memberi tumpuan kepada golongan warga emas, OKU dan Wanita.

“Golongan ini akan terus diperkasa dengan melaksanakan program seperti jurulatih kerja, pemulihan dalam komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas, maka jelaslah OKU merupakan sebahagian daripada agen pembangunan negara dan tidak boleh disisihkan dalam arus pembinaan negara bangsa ini,” jelasnya lagi.

Beliau juga menyeru masyarakat bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran awam supaya tidak memandang rendah golongan OKU, sebaliknya memahami keperluan mereka seterusnya membantu menyediakan kemudahan sewajarnya.

“Penerimaan masyarakat dapat membantu menambah keyakinan mereka untuk bersama-sama bersaing dalam dunia globalisasi kini, hal ini bagi memastikan bakat dan keupayaan golongan OKU ini tidak disia-siakan hanya kerana mereka tidak bernasib baik,” katanya lagi.

Rasil turut berharap Program MyCEKAP Kesedaran Awam: Sokongan Terhadap Penghakupayaan OKU itu dapat mencipta satu sudut pandang baharu iaitu OKU memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.

“Namun begitu, bagi mencapai matlamat tersebut, kesedaran pelbagai pihak amatlah diperlukan, semua pihak diharap dapat bersama-sama turut serta dalam agenda pembangunan golongan OKU,” tambahnya.

-RI

Tinggalkan komen anda