
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)/MPT
KAMUNTING, 11 OKT (Malaysiaaktif) – Sebanyak 187 bahan buangan elektrikal dan elektronik (e-waste) telah berjaya dikumpulkan di Stesen Bas Kamunting dalam Kempen Pengumpulan e-Waste anjuran Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Menurut Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPT Hishamuddin Muhamad, kempen ini akan diteruskan pada minggu hadapan di Dewan 1001 Pekan Matang pada 16 Oktober 2021 (Sabtu) dan Dewan MPT Taiping pada 17 Oktober 2021 (Ahad).
“Tahniah dan syabas kepada penduduk Mukim Kamunting kerana menyokong kempen ini.
“Dalam usaha memastikan alam sekitar kekal bersih, selamat serta sihat, penduduk juga dapat menjana pendapatan dengan menjual barangan terpakai dan pendapatan keseluruhan yang diperolehi penduduk dengan menjual barangan tersebut hari ini adalah RM280.00.
“Kempen ini berjaya mengumpul pelbagai barangan e-waste seperti pencetak, peti ais, mesin basuh, telefon pintar dan komputer,” katanya ketika menghadiri kempen tersebut, semalam.
Selain lokasi Stesen Bas Kamunting, pihak MPT juga mengambil barang buangan bersaiz besar di rumah melalui panggilan janji temu.
“Konsep pandu lalu ini adalah dengan membawa bersama buangan e-waste yang hendak dilupuskan ke tempat pengumpulan dan setiap barangan e-waste akan menerima token mengikut harga yang telah ditetapkan.
“Penyumbang juga akan menerima tiket cabutan bertuah mengikut terma dan syarat yang ditetapkan,” katanya.
~ RJ~