
Laporan/foto: Faridah Ismail (Johor)/JaPen
KOTA ISKANDAR, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri menerusi Johor Masterplan 2030 tekad menjadikan Johor sebagai penjana sukan di rantau ini.
Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, dalam usaha mempersiapkan acara sukan dan atlet, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta khusus bagi Program GRIT Johor 2030.
“Program ini akan memberi impak bukan sahaja menjadikan sukan sebagai gaya hidup, malah memberi limpahan ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Hasni (tiga dari kanan) menyampaikan plak Anugerah Profesionalisasi Persatuan Sukan Negeri Johor 2021 kepada Persatuan Karate Negeri Johor.
“Sebanyak RM1.52 juta turut disediakan bagi pemerkasaan persatuan-persatuan sukan di negeri ini bagi memastikan pengurusan lebih sistematik, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri.
“Bagi pelaksanaan program GOLD iaitu program pembangunan atlet pelapis negeri untuk memastikan Johor tidak ketandusan atlet pelapis yang berbakat, sejumlah RM2.53 juta telah diperuntukkan,” katanya ketika merasmikan Hari Sukan Negara peringkat Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah beliau, untuk menyokong usaha gaya hidup sihat dan merakyatkan sukan kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk penganjuran Karnival Sukan Makmur XTIF Johor.
“Kerajaan negeri amat prihatin dan peka terhadap keperluan sukan serta gaya hidup sihat untuk rakyatnya.

Amanat dan Perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kebangsaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara lintas langsung dari Putrajaya.
“Justeru itu, aktiviti sukan bukan hanya untuk gaya hidup dan pembangunan atlet semata-mata, malah mampu menjadi sumber ekonomi baharu negeri, dengan menganjurkan acara pelancongan sukan.
“Kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah RM2.5 juta bagi memastikan Majlis Sukan Daerah dan Persatuan Sukan Negeri mampu menerapkan budaya sukan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Pada majlis tersebut, Hasni turut menyampaikan Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor kepada Persatuan Badminton, Hoki, Bola Keranjang, Memanah, Petanque dan Persatuan Silat.
Manakala Anugerah Profesionalisasi Persatuan Sukan Negeri pula telah dianugerahkan kepada Persatuan Karate Negeri Johor di atas pencapaian cemerlang dalam memperkasa persatuan sukan di negeri ini.
Terdahulu, Hasni bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan para jemputan mendengar Amanat dan Perasmian Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Kebangsaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara lintas langsung dari Putrajaya.
-NI-