
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Kesalinghubungan akan menjadikan masyarakat lebih dekat sebagai satu keluarga dalam proses membina negara bangsa, selari dengan konsep Keluarga Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang unik berdasarkan sejarah, latar belakang, sosiobudaya dan geografi, maka kesalinghubungan akan memberi impak yang lebih bermakna kepada konsep Keluarga Malaysia.
Menurut Annuar, sekiranya rakyat menganggap Malaysia sebagai keluarga, maka segala jurang dan masalah terputus hubungan perlu diselesaikan.
“Maka saya anggap soal kesalinghubungan bukan sahaja ketersambungan tetapi kualiti sambungan itu sebagai satu hak asasi manusia ataupun hak bagi setiap rakyat Malaysia,” katanya pada program Inklusif terbitan RTM malam tadi.
Annuar berkata usaha tersebut perlu menjadi satu agenda nasional yang mesti didukung dengan bersungguh-sungguh dalam memastikan semua pelaksanaan rancangan kerajaan tercapai.
Sementara itu, Annuar berkata ketika baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, beliau menerima banyak maklum balas berkaitan kesalinghubungan khususnya kualiti liputan Internet selain permintaan rakyat supaya kerajaan menyemak penyalahgunaan media sosial.
Menurut Annuar, beliau memberikan masa kepada dirinya sendiri untuk menyelesaikan isu miskin digital melibatkan kawasan yang tidak mempunyai liputan Internet berkualiti sebelum akhir tahun hadapan.
“Saya ingin memastikan pelaksanaan program untuk membina beberapa ribu menara (telekomunikasi) bagi membolehkan liputan 4G dapat sampai ke segenap pelosok negara. Sebanyak lebih daripada 1,600 menara akan dibina dalam masa sebelum akhir tahun hadapan,” katanya.
Pada masa sama katanya, lebih daripada 800 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan terpencil di pedalaman dan kerajaan perlu menggunakan teknologi satelit supaya mereka mendapat khidmat sama dengan kawasan maju berdekatan bandar yang mendapat khidmat gentian optik.
“Sebab itu sasaran kita untuk memastikan menjelang akhir tahun hadapan, khidmat 4G mestilah sampai kepada sekurang-kurangnya 97 peratus daripada jumlah penduduk negara di kawasan berpenduduk.
“… dengan kelajuan antara 25 ke 35 megabait sesaat (MBps) dan kita ingin memastikan kawasan-kawasan berkenaan mempunyai kesediaan untuk kita mulakan roll-out khidmat jalur lebar 5G bagi menyahut teknologi terkini,” katanya.
Annuar turut memaklumkan Malaysia berada pada ranking kelima mengikut The International Telecommunication Union (ITU) yang membuat penarafan tentang tahap sekuriti siber dan kerajaan tetap meneruskan kempen untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung sekuriti siber.
— BERNAMA