
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Kebiasaannya dalam menghasilkan kuih tepung bungkus, daun yang digunakan adalah daun pisang namun berbeza dengan penduduk di Kampung Gual Ipoh apabila menggunakan daun lerek iaitu sejenis daun pokok herba dalam menghasilkan kuih tradisional tersebut.
Menurut pengusaha kuih tradisional tepung bungkus daun lerek kampung tersebut, Mutiara Omar, 34, berkata untuk membuat kuih ini perlu penelitian agar rasanya lazat dan pelanggan tidak rasa jemu.
“Kuih ini diperbuat daripada tepung gandum, santan, kelapa muda, gula melaka dan dibungkus menggunakan daun lerek dan dianggap istimewa kerana aroma yang dihasilkan oleh daun ini amat membangkitkan selera.
“Dalam menghasilkan kuih ini, perlukan ketepatan adunan untuk menambah kelazatan rasanya dan perlu sabar dan tekun agar kuih yang dimasak menjadi,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya, di sini baru-baru ini.
Mutiara berkata, kebiasaannya pelanggan yang membeli kuih ini memberikan maklum balas positif.
“Setakat hari ini, saban hari kuih saya habis dibeli pelanggan, ini memberi keyakinan dan kepuasan kepada saya untuk terus memyediakan kuih tradisional ini.
“Setiap awal pagi saya bersama suami bangun memasak dan menyediakan kuih untuk dihantar ke gerai berhampiran atau pasar berdekatan dan sekiranya ada tempahan daripada pelanggan saya terpaksa bangun lebih awal, kadang-kadang pukul 1.00 pagi,” jelasnya.
Bagi mendapatkan bekalan daun lerek, Mutiara mengambilnya dari hutan berhampiran atau kebun jiran dengan bayaran RM5 untuk seratus helai.
“Satu hari 200 biji atau lebih jika ada tempahan dan dijual dengan harga RM0.50 sebiji di kampung ini,” katanya.
Suami beliau, Mohd Hanafiah Hassan, 41, berkata resepi untuk membuat tepung bungkus ini diperokehi daripada orang tuanya dan sekarang ilmu itu diturunkan kepada isterinya.
“Lagipun isteri berminat dan cepat pandai dalam menghasilkan kuih ini mengikut tunjuk ajar ibu.
“Bukan tepung bungkus daun lerek sahaja, malah kami turut menyediakan kuih tradisional lain seperti lepat ubi kayu dan kuih koci yang turut menjadi pilihan pelanggan setempat.
“Demi keluarga saya sanggup buat apa sahaja kerja untuk menyara keluarga,“ kata bapa kepada sembilan orang anak termasuk tiga daripada anaknya kurang upaya.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Ipoh Razali Yusuf, 63, salah seorang pengemar kuih tradisional tersebut meyakini yang kuih kuih ini turut menjadi pilihan pelbagai generasi.
“Saya percaya kuih ini tetap menjadi pilihan ramai macam saya makan ni, dengan lemak, manis dan lembut, memang sedaplah, rugi kalau tak makan.
“Masyarakat di sini terutama golongan pengusaha kuih tempatan begitu kreatif dalam mencipta pelbagai jenis aneka kuih-muih, dan jika singgah ke sini jangan lupa untuk mencuba keenakkan kuih ini,” katanya.
-RI