
Laporan/foto: Noraidah Mat Seh (Jasin)/FB Ahmad Hamzah
JASIN, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Bagi membantu rakyat dalam meneruskan kehidupan seharian, Jabatan Perikanan Malaysia bersama-sama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menyerahkan lesen sampan khas kepada 49 orang nelayan di Daerah Jasin dan empat lagi dari Daerah Melaka Tengah.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI) Ahmad Hamzah, objektif bantuan Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan (Speks) ini adalah untuk memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) data pengeluaran ikan makanan negara tercapai khususnya bagi negeri Melaka yang mensasarkan 4,000 tan metrik bagi tahun 2021.
“Jabatan Perikanan Malaysia juga turut melaksanakan Program Dana Jaminan Makanan (DJM) bagi tujuan mewujudkan peluang pekerjaan.
“Penyerahan bantuan telah disampaikan kepada MyKP (Komuniti Perikanan) Merlimau bagi Projek Pemprosesan Ikan Kering dengan jumlah peruntukan sebanyak RM44,500.00,” ujar Hamzah dalam majlis penyampaian Lesen Sampan Khas, Bantuan Speks Akuakultur dan Bantuan Projek Dana Jaminan Makanan kepada nelayan di Jeti Nelayan Pernu, di sini kelmarin.
Tambah Hamzah, bantuan ini diberikan kepada nelayan sepenuh masa yang memenuhi kriteria yang ditetapkan kementerian.
“Bagi permohonan lesen sampan khas dan bantuan yang disalurkan adalah seperti rumah pengering ikan, penyejukbeku, plastik pembungkusan, tong insulasi, pengedap, label pelekat produk dan meja kerja.
“Bantuan kepada penternak industri akuakultur yang sama-sama menyumbang dalam memenuhi permintaan domestik turut disampaikan.
“Seramai enam orang penternak dan nelayan dari Daerah Jasin, manakala 18 lagi dari Daerah Melaka Tengah telah menerima bantuan ini,” katanya.
-FF