Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMAPerak

MyZooTaiping : Pelancaran Platform dalam Talian Zoo Pertama di Asia Sempena Sambutan Hari Zoo Sedunia.

By 23 Oktober 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Nur Afikah Rusly (Larut Matang dan Selama)

TAIPING, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Bersempena dengan sambutan hari Zoo Sedunia, Zoo Taiping telah melancarkan sebuah platform baharu bagi melihat habitat haiwan secara maya yang dikenali sebagai ‘MYZOOTAIPING’ yang menjadi satu keunikan dan tarikan baharu terhadap pengunjung.

Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Negeri Perak, YB Dato’ Ashilin Dato’ Mohammed Radzi, bertempat di Pavilion Zoo Taiping dan Night safari pada hari ini.

‘MyZooTaiping’ ialah platform inovasi baharu yang mana Zoo Taiping & Night Safari dibuka kepada pelawat 24 jam secara dalam talian, walau di mana mereka berada, asalkan mereka mempunyai rangkaian internet.

Platform ini menyediakan lawatan secara maya ke Zoo Taiping & Night Safari , berserta maklumat lain yang mungkin tidak tersedia semasa lawatan secara berjalan masuk ke zoo.

Pengunjung merasai pengalaman memberi makanan kepada zirafah di Zoo Taiping.

Pengunjung merasai pengalaman memberi makanan kepada zirafah di Zoo Taiping.

Walaupun rentas negeri sudah dibenarkan namun buat pengunjung yang mempunyai kekangan masa atau pun lokasi yang jauh dari Zoo Taiping, mereka masih berpeluang melihat haiwan bersama keluarga melalui platform zoo maya dan pastinya kenangan manis di zoo boleh terus dinikmati dari rumah pada bila-bila masa.

Platform ‘MyZooTaiping’ adalah dimensi baharu bagi sektor pelancongan dan rekreasi yang direka bentuk dengan penambahan komponen dalam talian secara unik untuk memberikan input dalam bentuk pendidikan berterusan yang menjurus kepada sains perlindungan haiwan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang alam semula jadi dan pada masa yang sama menimbulkan minat orang ramai supaya berkunjung secara fizikal ke Zoo Taiping & Night Safari.

YB Dato’ Ashilin berkata platform ‘MyZooTaiping’ bakal memberi maklumat yang lebih daripada melawati zoo dengan menawarkan empat komponen utama iaitu lawatan berpandukan secara maya, MyZooTaiping TV, Forum Zoologi serta acara dan aktiviti.

Lawatan di sekitar Zoo Taiping bersama YB Dato' Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Lawatan di sekitar Zoo Taiping bersama YB Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

“Zoo Taiping & Night Safari telah memulakan operasi sejak 18 Oktober 2021 dan selama lima hari sehingga semalam telah mencatatkan seramai 18000 orang pengunjung yang hadir ke sini,” katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh melayari laman sesawang ‘MyZooTaiping’ dan bayaran akan dikenakan sebanyak RM60.00 selama setahun”.

Program ini juga turut melibatkan kerjasama daripada pihak Zoo Taiping & Night Safari Majlis Perbandaran Taiping dan juga Ecotourism and Conservation Society (ECOMY) yang hadir bagi melancarkan program pada hari ini.

~RJ~

Tinggalkan komen anda