Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Nadi Industri Seni Kembali Berdenyut

By 1 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

NADI INDUSTRI SENI KEMBALI BERDENYUT

Laporan/foto: Mohamad Zaidy/CENDANA

PUTRAJAYA, 1 Okt (Malaysiaktif) – Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) kembali dengan edisi ketiga Art In The City (AITC2021) yang menampilkan program dan aktiviti khas untuk penggiat dan petugas kebudayaan, susulan pengumuman pembukaan semula industri kreatif oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Datuk Seri Annuar Musa, berkata sempena Tahun Ekonomi Kreatif Antarabangsa untuk Pembangunan Lestari pada tahun ini, AITC 2021 akan berlangsung dari Oktober hingga Disember 2021 dengan pelbagai aktiviti mempromosi seni, kreativiti dan imaginasi rakyat Malaysia.

Annuar memaklumkan, melalui program tersebut, AITC 2021 bakal mencipta 2,000 peluang pekerjaan tambahan.

“KKMM akan terus memberikan komitmen dan sokongan kepada sektor seni dan budaya yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Sepanjang tahun 2021, KKMM telah melaksanakan pelbagai program industri kreatif melalui inisiatif PRISMA dengan jumlah RM89 juta untuk menggiatkan industri ini,” katanya ketika merasmikan AITC di di Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPAC), di sini semalam.

Menurut Annuar, seterusnya melalui dana Pelan PEMULIH, tambahan RM100 juta telah diperuntukkan untuk menggerakkan industri kreatif.

“Kerajaan mengakui pentingnya peranan Seni dan Budaya untuk menyemarakkan kembali negara, bukan hanya dari aspek ekonomi tetapi juga dari sudut kemanusiaan.

“Pembangunan dan pemulihan Seni dan Budaya negara akan membantu memulihkan nusa dan bangsa, oleh itu KKMM mengajak masyarakat seni untuk bekerjasama dengan Kementerian melalui Pasukan Petugas Kreatif untuk mewujudkan struktur sistematik untuk membangunkan industri kreatif negara.

“Menjadi harapan agar MyCreative Ventures Group, yang merangkumi CENDANA, akan terus memainkan peranan yang efektif dalam meneraju organisasi ini dan melalui pemerkasaan pelbagai program dan inisiatif yang diperkenalkan untuk industri ini, dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu Annuar berharap Kementerian Wilayah Persekutuan dapat bekerjasama dengan agensi di bawah kementeriannya seperti Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) bagi memberikan ‘wajah baharu’ kepada ibu negara Kuala Lumpur.

“Ini termasuk merealisasikan cadangan untuk mewujudkan Zon Seni atau Arts Villages bagi memastikan Kuala Lumpur mempunyai ‘roh’ atau nilai seni bagi menarik perhatian pengunjung.

“Sesebuah bandar akan menjadi bandar yang sesuai didiami apabila diberi nilai seni budaya dan nilai kehidupan,” jelasnya lagi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda