
Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 229 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan orang perseorangan terlibat dalam Program Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Kemaman di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini.
PPV tersebut melibatkan enam buah masjid di daerah ini, Masjid Kampung Semayor, Masjid Kijal, Masjid Ibok, Masjid Kampung Pasir Gajah, Masjid Binjai dan Masjid Kuala Kemaman.
Menurut Noor Athirah Syazwani Zakaria, 20, penuntut Universiti Malaysia Terengganu, dia teruja kerana dapat melibatkan diri dalam program tersebut sebagai sukarelawan.
“Saya berasa sangat seronok dan teruja apabila dapat melibatkan diri dengan program kemasyarakatan sebegini dan ini adalah salah satu cara untuk saya menabur bakti kepada masyarakat setempat.
“Walaupun ada kalanya berasa letih dalam memenuhi tugasan yang diamanahkan, tetapi niat ingin membantu program ini berjaya membuatkan diri terus bersemangat menjadi seorang sukarelawan di sini sehingga program berakhir,” katanya ketika ditemu bual di PPV Kuala Kemaman, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohammad Izzul Faez Mohd Nasir, 20, penuntut Universiti Teknologi Skudai yang ditemui turut bersependapat dengan Noor Athirah.
“Masa terluang ekoran penutupan universiti saya dapat manfaatkan dengan menjadi sukarelawan di PPV Masjid Kuala Kemaman ini.
“Di samping dapat menabur bakti kepada orang ramai, saya juga dapat menimba pengalaman baru di sini,” katanya.
Bagi Penyelaras PPV Masjid Kemaman Matnoh Karim, 52, beliau amat berterima kasih kepada sukrelawan yang dilantik kerana sangat membantu melancarkan program tersebut.

Matnoh Karim, Penyelaras PPV Masjid Kemaman berkata sukarelawan universiti sangat berdisplin setiap kali PPV beroperasi.
“Pertamanya, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penuntut yang terlibat secara langsung dalam program ini.
“Mereka sangat berdisplin dan paling penting menepati masa setiap kali PPV beroperasi dan saya doakan mereka terus cemerlang dalam bidang mereka masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Hanafiah Mat, telah merasmikan majlis penutup di Masjid As-Syakirin Kuala Kemaman.
“Program ini secara rasminya telah menutup tirainya dengan 4,402 orang penerima vaksin untuk dos pertama dan dos kedua sepanjang sepuluh sesi diadakan,” katanya.
-ii-