Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

PICK Remaja di Johor Berjalan Lancar

By 5 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamisah Sumar (Johor)/JaPen

JOHOR BAHRU, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 304,695 remaja berumur di antara 12 hingga 17 tahun di negeri ini telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) melalui aplikasi MySejahtera.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Mazlan Bujang, program ini dilaksanakan sebagai persediaan pembukaan semula sesi persekolahan.

“Pelaksanaan program ini melibatkan semua sekolah di negeri ini yang diadakan secara berperingkat bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan dan seterusnya mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.

“Para pelajar akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dilakukan di sekolah-sekolah dan juga PPV yang berhampiran,” katanya dalam sesi bual bicara Influencer@JaPen Johor secara maya, di sini semalam.

Tambah beliau, daripada 90,167 pelajar tingkatan empat dan lima yang telah mendaftar, seramai 70,526 pelajar iaitu 78.22 peratus telah menerima suntikan vaksin dos pertama yang melibatkan 282 buah sekolah menengah di negeri ini.

Pengarah Penerangan Negeri Johor Naim Fahmi Amad Tajuddin menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Mazlan Bujang.

Pengarah Penerangan Negeri Johor Naim Fahmi Amad Tajuddin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mazlan.

“Manakala 49,632 orang dari 198,162 pelajar yang berusia 12 hingga 15 tahun telah menerima suntikan vaksin dos pertama di bawah pelaksanaan PICK Remaja.

“Suntikan dos kedua pula dijangka akan diterima selepas tiga minggu suntikan dos pertama,” ujarnya.

Beliau berkata, majoriti para pelajar yang ditemui memberikan respon yang positif yang mana mereka sangat bersemangat untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

“Pihak kami turut menerima beberapa maklum balas daripada para ibu bapa yang masih belum bersedia untuk anak-anak mereka menerima suntikan berikutan beberapa kekangan seperti masalah akses internet, tiada pengangkutan dan tidak dapat bercuti untuk menemani anak-anak mereka.

“Bagaimanapun saya yakin isu-isu yang timbul ini akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat,” tambahnya.

Mazlan memaklumkan, proses vaksinasi untuk para pelajar tingkatan tiga dan ke bawah akan dijalankan mengikut arahan yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah proses vaksinasi pelajar tingkatan empat dan lima selesai dilaksanakan.

-NI-

Tinggalkan komen anda