
Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran/ Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 59 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang menerima suntikan vaksin Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi bagi memastikan persediaan untuk ke sekolah berjalan lancar.
Menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Datuk Usman Awang Fazilah Harun, program diadakan bagi memastikan para pelajar SK Datuk Usman Awang yang berusia 12 tahun tidak ketinggalan dalam mendapatkan suntikan vaksin melalui PICK Remaja bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
“59 orang murid yang terdiri daripada 49 orang murid aliran perdana dan 10 orang murid aliran khas disasarkan untuk menerima suntikan vaksin jenis Pfizer.
“Setakat ini, 48 orang pelajar telah menerima suntikan vaksin yang merangkumi 84 peratus jumlah keseluruhan pelajar tahun enam di sekolah ini,” katanya ketika ditemui di PICK Remaja SK Datuk Usman Awang, di sini semalam.
Tambah beliau, terdapat seramai empat orang pelajar menolak untuk divaksin kerana mereka mempunyai masalah kesihatan manakala tujuh orang pula dikuarantin dan seorang tidak sihat.
“Setakat ini, penerimaan ibu bapa terhadap program ini amat positif.
“Para ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka untuk menerima suntikan vaksin bagi memudahkan mereka untuk meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka yang akan bermula tidak lama lagi,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak sekolah tidak menghadapi sebarang kekangan berikutan ibu bapa dan penjaga para pelajar memberi kerjasama yang baik dan menyokong program ini.

Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi Mohamad Fadil Ishak (tengah) membuat tinjauan ke PPV Dewan Jubli Intan Kota Tinggi.
“Pihak sekolah berharap, murid-murid yang tidak berkesempatan divaksin pada hari ini kerana belum mencapai usia 12 tahun (mengikut bulan) dapat divaksin pada Program PICK Remaja akan datang.
“Malaysia sekarang sedang menuju ke fasa endemik, suka atau tidak masyarakat harus hidup menyesuaikan diri untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu bersama-sama COVID-19.
“Oleh itu, usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ini wajar disokong bagi membolehkan pelajar kembali ke sekolah seperti biasa,” katanya.
Seorang pelajar yang ditemui Nur Rifa Raisha Nor Rashidi, 12, meluahkan perasaan lega setelah divaksin walau pun pada awalnya agak gementar.
“Sejak malam semalam saya amat bimbang untuk disuntik pada hari ini, walau bagaimana pun setelah dinasihati oleh ibu, saya mula sedar akan kebaikan vaksin memandangkan sekolah juga akan mula dibuka tidak lama lagi.
“Saya juga teruja untuk kembali ke sekolah dan berjumpa dengan rakan-rakan serta guru-guru memandangkan mereka juga turut menerima suntikan pada hari ini,” jelasnya.
Norasilah Ibrahim, 44, ibu kepada salah seorang pelajar yang ditemui amat menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini.
“Sebagai ibu, saya amat menggalakkan anak saya untuk di vaksin pada hari ini.
“Sudah terlalu lama mereka hanya belajar dari rumah, dan kini sudah tiba masa mereka untuk kembali belajar secara bersemuka di sekolah dalam keadaan yang lebih selamat setelah menerima suntikan pada hari ini,” katanya.
-NI-