Laporan/foto: Muhammad Syafiq Irman (Bentong)
BENTONG, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Projek Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kuala Krai Kelantan dan Bentong Pahang yang melibatkan jarak keseluruhan 306 kilometer dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, lanjutan tempoh masa untuk menyiapkan projek itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang penambahan kos.
“Walaupun pada awalnya kerajaan menyasarkan projek CSR itu dapat disiapkan pada tahun 2025, namun berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lalu telah memberi kesan terhadap jadual asal penyiapan projek terbabit.
“Projek yang terbabit pada hari ini ialah Seksyen 5C dari Kampung Asap ke Kampung Sertik sepanjang 5.78 kilometer yang bermula pada bulan November 2015 dan siap pada 30 Oktober 2018.
“Manakala seksyen 5D iaitu Bentong Bypass sejauh 22.72 kilometer yang siap pada bulan April yang lalu dengan kos sebanyak RM631.9 juta sudah boleh digunakan orang ramai,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Projek CSR Seksyen 5C dan 5D dari Kampung Asap ke Kampung Sertik dan Bentong Bypass, di sini kelmarin.
Tambah beliau, pembukaan jajaran baharu bagi subsektor CSR berkenaan dapat menjimatkan kos dan masa perjalanan para penduduk di sekitar pekan Mempaga ke bandar Bentong.
“Jajaran ini juga dapat mengurangkan kesesakan trafik di laluan Persekutuan yang sememangnya agak sibuk apabila tiba waktu puncak, terutamanya setiap kali musim cuti perayaan atau cuti umum kerana ia merupakan laluan utama untuk ke Kelantan,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, kos keseluruhan projek CSR itu berjumlah kira-kira RM7.3 bilion yang dibahagikan kepada enam pakej.
“Pakej pertama dan kedua merangkumi Kuala Krai-Jambatan Sungai Lakit Kelantan (47 km) dan Jambatan Sungai Lakit-Gua Musang sejauh 59.6 km.
“Pakej tiga hingga enam pula membabitkan laluan Gua Musang Kelantan ke persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur sejauh kira-kira 200 km,” tambahnya.
-AH-