
Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/ Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Walaupun aktiviti ekonomi dan sosial dibenar beroperasi secara berperingkat, namun rakyat perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, ketika menyampaikan Perutusan Khas Sempena Hari Jadi Rasmi ke-68 berkata dalam usaha mengekang penularan COVID-19, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha sejak lebih setahun lalu termasuk SOP Pelan Pemulihan Negara dan memperhebatkan program imunisasi untuk seluruh rakyat.
“Pandemik ini belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, apatah lagi ia sudah berada di dalam komuniti.
“Justeru, kitalah yang bertanggungjawab dalam menjaga serta memastikan keselamatan diri sendiri, keluarga dan orang lain dengan membendung pandemik ini daripada terus menular.
“Kepada mereka yang belum menerima vaksin, segeralah berbuat demikian melalui program-program bantuan vaksin atau di pusat-pusat pemberian vaksin,” katanya di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Suasana dalam Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu ketika upacara bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bongsu@Aziz Jaafar.
Menurut Tun Juhar, pemulihan ekonomi dan sosial yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menerusi pelan pembangunan negeri kini memberi impak positif, justeru beliau menggesa seluruh rakyat untuk sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menjayakan program-program pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Kita perlu bersatu dan terus berusaha untuk memulihkan kembali ekonomi negeri dan kehidupan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
“Perpaduan adalah asas kepada kestabilan, keharmonian dan tunjang kepada kejayaan usaha kita.
“Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh lapisan rakyat agar terus memperkukuhkan dan mengekalkan perpaduan yang telah menjadi identiti dan kebanggaan kepada negeri ini,” ujar beliau.
Tambahnya, ketika berhadapan ancaman pandemik COVID-19, inovasi dalam teknologi pendigitalan semakin mengambil tempat dalam kehidupan.
“Teknologi ini sememangnya mempermudahkan banyak urusan, selamat, penyampaian perkhidmatan yang cekap dan perkongsian maklumat yang pantas.
“Pelaksanaan konsep Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai satu norma baharu akibat pandemik COVID-19 merupakan contoh bagaimana teknologi digital mampu berfungsi untuk kita bekerja tanpa mengira waktu dan tempat kita berada,” katanya.
Tun Juhar berkata, interaksi dan urus niaga dalam talian terus menjadi pilihan bagi menggantikan pertemuan bersemuka sama ada oleh mereka di institusi pendidikan, perkhidmatan awam, swasta, sektor industri dan perniagaan, hingga merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
“Ini ditambah dengan kemunculan pelbagai aplikasi persidangan video dan platform urus niaga dalam talian.
“Sehubungan itu, pembudayaan teknologi dan amalan budaya baharu ini perlu terus disemarakkan dalam kalangan rakyat,” kata beliau.
Pada istiadat tersebut, seramai 23 orang menerima darjah kebesaran, bintang serta pingat sempena hari jadi rasmi ke-68 pada tahun ini.
-RI