
Laporan/foto: Muhammad Syafiq Irman Ali/ Izarina Kulub Mat Isa (Bentong)
BENTONG, 6 Nov (Malaysiaaktif) – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyantuni mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak Bentong, semalam.
Sejurus ketibaan, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menerima sembah taklimat oleh Pegawai Daerah Bentong berkenaan kejadian kebakaran yang telah melibatkan 161 mangsa daripada 51 buah rumah dan lapan buah kedai.
“Beberapa penekanan harus dikaji secara terperinci diantaranya ialah jarak antara rumah yang sedia ada terlalu dekat, memperluaskan sistem longkang dan saliran, bekalan elektrik yang mencukupi serta kegunaan pili bomba pada waktu kecemasan,” titah Baginda.
Baginda menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga kesihatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai pelitup muka serta mengambil suntikan vaksinasi COVID-19.

Agong dan Permaisuri menzahirkan rasa dukacita dan simpati di atas kejadian yang menimpa para penduduk Kampung Baru Karak Bentong.
“Individu yang telah lengkap mengambil vaksin lebih selamat dari orang yang tidak divaksin.
“Saya menasihatkan semua rakyat yang belum menerima suntikan vaksin untuk mengambilnya kerana ia bukan sahaja untuk keselamatan diri sendiri tetapi juga untuk orang-orang di sekeliling kita,” titahnya.
Baginda berdua kemudiannya mencemar duli mendengar taklimat cadangan pembangunan semula Kampung Baru Karak oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai serta menyaksikan penyerahan sumbangan cek daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia, IINFRA Sdn. Bhd dan Datuk Nelson Tan berjumlah RM1.18 juta.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak Datuk Sri Liow Tiong Lai dan Pegawai Daerah Bentong Datuk Mohd Zulkifli Hashim.
-AH-