Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

CyberSecurity Malaysia Laksana Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber

By 15 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 15 Nov (Malaysiaaktif) – CyberSecurity Malaysia (CSM) melaksanakan Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber selama sebulan bermula hari ini, bagi menentukan tahap pemahaman serta sikap generasi muda dalam penggunaan teknologi digital dan Internet.

Dalam kenyataan hari ini, CSM berkata kajian komprehensif dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) itu akan dikendalikan penyelidik akademik Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kajian yang dijalankan menerusi beberapa kaedah seperti soalan kaji selidik secara dalam talian dan temu bual itu melibatkan seramai 12,186 murid sekolah rendah, menengah dan kurang upaya, serta 1,260 ibu bapa di seluruh negara.

Menurut CSM kajian tersebut menyasarkan murid sekolah bantuan kerajaan di bawah KPM merangkumi sekolah rendah dan sekolah menengah bandar dan luar bandar, sekolah jenis kebangsaan serta sekolah keperluan khas.

“Objektif kajian adalah untuk mendapatkan maklumat berkaitan isu keselamatan siber yang berlaku dalam kalangan murid sekolah serta mendapatkan status terkini tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan murid dan juga ibu bapa,” menurut kenyataan itu.

Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 itu, turut bertujuan membangunkan modul dan isi kandungan berkaitan kesedaran keselamatan siber dan merangka pendekatan dalam usaha melestari serta membudayakan keselamatan siber kepada murid, guru dan ibu bapa, menurut CSM.

“Kajian ini dijangka dapat mengenal pasti tahap kesedaran murid sekolah terhadap komponen keselamatan siber seperti buli siber, kecurian identiti, penggodaman, mengenal pasti korelasi aktiviti dan tabiat dalam talian dengan ancaman serta jenayah siber.

“Ia juga dapat menganalisis tahap kesedaran serta langkah kawalan oleh ibu bapa terhadap ancaman keselamatan siber,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM Prof Dr Haim Hilman Abdullah yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor UUM menerusi kenyataan sama berkata pihaknya mengambil masa empat minggu bagi proses pengumpulan data.

“Dapatan hasil kajian ini akan dijadikan asas kepada perancangan aktiviti serta pengisian negara ke arah membina jati diri generasi muda, seterusnya melahirkan Keluarga Malaysia yang beretika pada masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda