Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDNHEP Selangor
SHAH ALAM, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melancarkan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 (SHMMP DV 2021) bermula 1 hingga 7 November.
Menerusi satu kenyataan hari ini, KPDNHEP Selangor memaklumkan langkah tersebut untuk menstabilkan harga barangan keperluan menjelang perayaan Deepavali pada 4 November ini.
“Sebanyak 11 jenis barangan telah ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan SHMMP DV 2021 merupakan barangan utama semasa sambutan perayaan Deepavali.
“Barangan tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam (gred A, B dan C), daging kambing import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji serta kelapa parut,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu juga menasihatkan pengguna di Selangor tidak risau dengan kecukupan bekalan kerana ia adalah stabil sehingga menjelang musim perayaan.
“Tindakan boleh diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Aduan boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp 0192794317, portal [email protected] atau 1800 886 800,” katanya.
-RI