Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Golongan OKU Perlu Difahami

By 15 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Siti Zuraida/ Samsulkhair (Jempol)

JEMPOL, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, bertempat di surau Al- Mukmin Rumah Rakyat Jambu Lapan seawal jam 8.00 pagi Program Sepakat@Komuniti Keluarga Malaysia anjuran Pejabat Penerangan Daerah Jempol dengan kerjasama Kolej Komuniti, Persatuan Insan Istimewa Daerah Jempol dan Surau Al-Mukmin, Rumah Rakyat Jambu 8 telah menerima penglibatan masyarakat setempat yang amat menggalakkan terdiri daripada pelbagai peringkat golongan komuniti.

Pelbagai acara diadakan yang melengkapi semua golongan sasar iaitu kursus pendek ‘servis break’ motorsikal kepada golongan belia manakala kursus pendek masakan membuat roti & laksam terbuka kepada semua golongan. Selain daripada acara diatas, kolej komuniti Jempol turut menawarkan khidmat masyarakat dengan membuat pendawaian elektrik secara percuma dan pembersihan kawasan surau. Apa yang lebih istimewa melalui program ini turut meraikan insan-insan istimewa pelbagai kaum dari seluruh daerah Jempol menerusi Persatuan Insan Istimewa Daerah Jempol.

Para peserta yang menyertai Kursus Pendek Membaiki Brek Motosikal Bersama Kolej Komuniti Daerah Jempol.

Para peserta yang menyertai Kursus Pendek Membaiki Brek Motosikal Bersama Kolej Komuniti Daerah Jempol.

Menurut Mohamad Redha Derham 32, yang merupakan salah seorang insan istimewa OKU fizikal berkata “program ini sangat bagus dan merupakan pendekatan yang realistik dgn memuatkan beberapa kursus pendek yang mampu menarik minat golongan belia dan remaja untuk menyertainya selain mengisi masa lapang di hari minggu dengan lebih bermanfaat”. Bukan sahaja dapat ilmu, malah peserta juga turut diberikan sijil, tambahnya lagi.

Manakala Fauzi Abdullah 61, yang merupakan Pengerusi Persatuan Insan Istimewa Daerah Jempol, dalam ucapannya berkata, “kesedaran mengenai hak orang kurang upaya masih lemah dikalangan masyarakat. Justeru beliau berharap agar ahli masyarakat dapat memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat agar masyarakat tidak mengambil kesempatan dengan fasiliti yang disediakan untuk OKU”.

Peserta yang menyertai Kursus Membuat Laksam.

Peserta yang menyertai Kursus Membuat Laksam.

“kami juga ingin menjelaskan bahawa jangan disalah ertikan tentang istilah orang Kurang Upaya (OKU) kami memang kurang upaya tapi bukan bermakna kami hanya untuk meraih simpati dan meraih agar sentiasa diberikan bantuan, derma mahupun sumbangan tetapi cukup sekadar dapat menerima kami sepertimana insan normal yang lain dan memahami kami apabila kami berada dalam ahli masyarakat yang lain”, tambahnya lagi.

Sementara itu, Shahnon Mohamad, Pengarah Penerangan Negeri Sembilan yang merasmikan majlis berkata, “kami di Jabatan Penerangan sentiasa mencari dan memikirkan bagaimana untuk memasarkan maklumat dan mengadakan program dengan penglibatan pelbagai golongan ahli masyarakat yang lebih meluas dan golongan insan istimewa juga tidak terkecuali dan program seumpama ini akan diteruskan dimasa akan datang selain untuk memberikan ilmu kepada para peserta yang hadir bahkan maklumat semasa yang tepat dan sahih juga dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat”.

Tambahnya lagi “tahniah diucapkan kepada Pejabat Penerangan Daerah Jempol yang telah berjaya melaksanakan program seumpama ini dan merupakan program terakhir sebelum penutup akaun bagi tahun ini”.

Dalam program yang sama ceramah mengenai bahaya dadah dan peranan masyarakat dalam menanganinya telah disampaikan oleh Ketua Cawangan AADK Daerah, Ahmad Sabri Mohd Yusoff serta ceramah kefahaman mengenai OKU turut disampaikan oleh Dr Ruziah Ghazali, Ketua Cawangan Penghakupayaan OKU, Jabatan Penerangan Malaysia yang juga Penaung Persatuan Insan Istimewa.

Sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan atas kesanggupan ahli-ahli Insan Istimewa Daerah Jempol yang hadir memeriahkan program, majlis penyampaian sumbangan kepada mereka turut disampaikan.

Tinggalkan komen anda