Laporan/foto : Hamidah Md Drus(Kuala Pilah)/ Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (JaPen N. Sembilan)
KUALA PILAH, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah menganjurkan Program Larian Maya Keluarga Malaysia Daerah Kuala Pilah bermula 1 November hingga 7 November 2021 yang lalu.
Program diadakan bertujuan merakyatkan Pusat Maklumat Rakyat Daerah Kuala Pilah sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan maklumat semasa dan sahih selain menikmati kemudahan yang disediakan seperti penggunaan computer secara percuma.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah, Shaharuddin Daud, jarak yang dipilih tercetus dari ulangtahun ke 111 tahun Jabatan Penerangan Malaysia pada tahun ini.
“Acara yang julung kali diadakan dalam semangat Keluarga Malaysia ini memperlihatkan iltizam para peserta yang jitu walaupun pelbagai halangan dan cabaran dihadapi untuk melengkapkan jarak 11.1kilometer.
“Selari dengan tiga konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment), para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seiring selangkah mencapai sasaran yang ditetapkan,” ujarnya ketika ditemui semasa Sesi penyampaian hadiah dan kit larian Larian Maya Keluarga Malaysia Daerah Kuala Pilah 2021 di sini semalam.
Sementara itu, salah seorang peserta larian Nor Azhana Ramli, menyatakan walaupun keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu dan kadangkala hujan, tidak menjadi halangan untuknya melengkapkan larian sebanyak 11.1 kilometer itu.
“Akviti larian ini dilakukan secara santai bersama keluarga dan anak-anak apabila ada kelapangan mengikut tarikh yang ditetapkan. Selain dapat mengamalkan gaya hidup sihat walau dalam musim pendemik, ia juga dapat mengeratkan hubungan sesama keluarga, sangat sesuai dengan tema yang diberi iaitu Larian Maya Keluarga Malaysia,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu Mohd Hadzriq Ab Karim berkata Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah perlu meneruskan aktiviti sihat seperti ini di masa akan datang.
“Kali ini larian dilakukan secara maya, dan mungkin selepas ini boleh pula dilakukan secara bersemuka dan dalam skala yang besar dan jarak yang lebih tinggi,” ujarnya.
Peserta larian diberi masa selama seminggu untuk melengkapkan larian sama ada secara terus atau secara sehingga cukup 11.1 kilometer. Penganjur juga menyediakan hadiah untuk kategori Video dan gambar tercantik. Peserta boleh memulakan larian di mana sahaja dan perlu menghantar rekod larian menggunakan aplikasi yang ditetapkan dan menggunakan tanda pagar VRKeluargaMalaysiaKP dan pmrkualapilah ketika memuatnaik status larian di media sosial masing-masing.