Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kajian IR 4.0 di ILKBS Kenal Pasti Keperluan, Kesediaan ke Arah Pendigitalan

By 8 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: ILKBS

PUTRAJAYA, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menjalankan kajian berkaitan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) bagi mengenal pasti keperluan sebenar serta tahap kesediaan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) sebelum pelaksanaan projek pendigitalan di institusi itu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika merasmikan Simposium Kemahiran ILKBS 2021 secara maya hari ini berkata kajian itu dijalankan ke atas pelajar di 21 ILKBS seluruh negara selama setahun bermula 7 Sept lepas hingga 6 Sept tahun depan.

Antara skop kajian adalah program peningkatan dan menaik taraf peralatan latihan sedia ada dengan tambahan teknologi IR 4.0, pembangunan makmal pintar berteraskan teknologi IR 4.0, penyediaan latihan persediaan kepada tenaga pengajar dan pembangunan kurikulum pendigitalan berasaskan IR 4.0, katanya.

Ahmad Faizal berkata pelaksanaan kajian tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan bagi memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai persiapan menuju ke arah revolusi IR 4.0.

Kerajaan memperuntukkan RM6.6 bilion menerusi Bajet 2022 untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi berkaitan bagi melengkapkan belia dengan pelbagai kemahiran bersesuaian dengan keperluan dan kehendak pasaran kerja.

Bagi menjayakan agenda pendigitalan dalam latihan kemahiran, beliau berkata kesemua 1,195 tenaga pengajar ILKBS menjadi komponen penting dan perlu mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran dalam talian bagi memastikan pelajar di ILKBS tidak tercicir serta ketinggalan dalam era pendigitalan.

Beliau turut mencadangkan agar kurikulum pembelajaran sentiasa dikemas kini dengan memasukkan elemen digital bagi memastikan proses pembelajaran lebih menarik dan dapat disampaikan secara efektif.

“Pelaksanaan pendigitalan sepenuhnya dalam program TVET tidak dapat menyokong penguasaan kemahiran pelajar kerana 70 peratus pembelajaran adalah berdasarkan elemen praktikal. Maka di sinilah perlunya inovasi tuan-tuan dan puan-puan selaku tenaga pengajar,” katanya.

Ahmad Faizal berkata kesemua pelajar ILKBS perlu dilengkapi dengan persekitaran digital agar mempunyai kelayakan dan kemahiran yang lebih tinggi khusus dalam memenuhi permintaan industri tempatan masa kini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda