
Laporan/foto: Rozer Masudin/PMM
MERLIMAU, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau (PMM) menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) telah menguruskan hari pendaftaran tinggal di kampus (kamsis) bagi pelajar baharu sesi 1, 2021/2022 yang berlangsung baru-baru ini selama tiga hari.
Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PMM Mohd Hoirie Abdul Manah, berkata seramai 1010 pelajar baharu telahpun mendaftar ke kampus bagi tujuan mendapatkan kemudahan penginapan kamsis PMM.
“Para pelajar baharu ini sebenarnya telahpun mendaftar secara dalam talian pada bulan September yang lalu dan pada kali ini hanyalah proses pendaftaran kamsis seiring dengan pengumuman pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membolehkan pengajian di kampus dapat diadakan secara hibrid.

Mohd Hoirie (kiri berdiri) dan Zan Aizuwan (kanan) memantau proses saringan Covid-19 bagi para pelajar baharu.
“Terima kasih diucapkan kepada semua petugas dalam kalangan pelajar dan staf terutama kepada JHEP kerana dapat menjalankan tugas demi kelancaran proses pendaftaran yang telah berlangsung baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di kampus tersebut, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan JHEP Zan Aizuwan Zainal Abidin, berkata jumlah 1010 tersebut hanyalah melibatkan pelajar baharu dan pihaknya telah mengaturkan tarikh secara berfasa bagi kehadiran para pelajar ke kampus mengikut jabatan sekali gus mengurangkan kehadiran yang ramai ke kampus dalam satu-satu masa.
“Pihak PMM juga telah membangunkan Sistem Deklarasi Kesihatan dan Penilaian Risiko COVID-19 (PolyCcDec) yang bertujuan memantau tahap kesihatan pelajar, status vaksinasi dan bagi tujuan kuarantin kendiri sebelum mendaftar ke PMM.
“Walaupun para pelajar tinggal di dalam kampus tetapi hanya sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) seperti makmal dan bengkel sahaja akan berjalan secara fizikal, selebihnya berlangsung secara dalam talian.
-FF