Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PPN Sokong Pemulihan Beransur-ansur Pasaran Buruh pada Suku Ketiga

By 19 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Jabatan Perangkaan

PUTRAJAYA, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Pasaran buruh pulih beransur-ansur pada suku ketiga 2021 disokong oleh peralihan ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) berserta dengan peningkatan berterusan kadar vaksinasi, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata selaras dengan peningkatan berterusan kadar vaksinasi sepanjang suku tahun ini, beberapa negeri telah beralih ke fasa PPN berikutnya manakala pelonggaran sekatan dilaksanakan secara beransur-ansur.

“Oleh itu, pemulihan beransur-ansur dalam pasaran buruh dilihat pada suku ketiga 2021, digambarkan oleh peningkatan sederhana guna tenaga berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, manakala jawatan dalam sektor ekonomi merekodkan penyusutan perlahan,” katanya dalam satu kenyataan sempena keluaran laporan terkini Sorotan Pasaran Buruh, Suku Ketiga 2021.

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja mencatatkan peningkatan 1.2 peratus kepada 15.27 juta selepas meningkat 2.2 peratus pada suku sebelumnya.

Sementara itu, bilangan penganggur meningkat 0.2 peratus kepada 746,200 manakala kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus.

Dalam pada itu, beliau berkata bilangan yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu melonjak 15.0 peratus tahun ke tahun kepada 464, 600 dan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat kepada 2.1 peratus, merangkumi 326,200 orang.

Mohd Uzir menambah bilangan penduduk bekerja berpendidikan tertiari yang bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah mencatatkan peningkatan 6.3 peratus berbanding suku ketiga 2020 kepada 1.87 juta orang.

Dari aspek permintaan buruh, beliau memaklumkan jumlah jawatan dalam sektor swasta berkurangan 0.8 peratus kepada 8.41 juta pada suku ketiga 2021 berbanding 8.47 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Beliau menambah jawatan diisi jatuh 0.7 peratus kepada 8.23 juta sementara kekosongan jawatan berkurangan sebanyak 3.0 peratus kepada 174,000.

Sementara itu, kadar kekosongan jawatan kekal pada 2.1 peratus bagi tempoh lima suku tahun berturut-turut sejak suku ketiga 2020, manakala kadar jawatan diisi adalah 97.9 peratus.

“Suku ketiga 2021 menyaksikan penghasilan jawatan lebih rendah iaitu 15,000 dibandingkan 21,000 pewujudan jawatan pada suku sama setahun yang lepas,” katanya.

Mohd Uzir berkata dengan ekonomi kembali merekodkan penyusutan 4.5 peratus pada suku ketiga 2021, produktiviti buruh setiap pekerja jatuh 5.6 peratus tahun ke tahun.

“Dengan penyusutan dalam permintaan buruh dan peningkatan bilangan kemasukan baharu ke dalam pasaran buruh, pembaharuan berterusan diperlukan untuk mempertingkatkan peluang pekerjaan,’’ ujar beliau.

Oleh itu, Mohd Uzir berkata langkah intervensi jangka masa panjang yang ideal membolehkan kemasukan lebih ramai tenaga buruh ke pasaran buruh yang selanjutnya menjamin peningkatan kecekapan dan pertumbuhan ekonomi.

“Dari aspek penawaran menunjukkan prestasi sederhana berbanding setahun yang lepas dengan pertambahan penduduk bekerja dan sedikit peningkatan dalam pengangguran manakala dari segi permintaan oleh sektor ekonomi merekodkan penurunan perlahan, katanya sambil menambah prestasi pasaran buruh di Malaysia masih belum menunjukkan peningkatan ke paras pra-pandemik.

Memasuki suku keempat 2021, situasi kesihatan awam dilihat bertambah baik seiring dengan perkembangan pantas vaksinasi, tambah beliau.

“Dengan kebanyakan negeri telah beralih ke Fasa 4, ekonomi dijangka memperoleh semula momentum yang akan meningkatkan peluang pekerjaan, sekali gus dapat memulihkan kedudukan pasaran buruh.

“Melihat kepada kesediaan negara untuk keluar daripada fasa pandemik, strategi dan inisiatif dalam Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dijangka dapat mempertingkatkan interaksi pasaran buruh dan seterusnya memastikan pemulihan beransur-ansur kepada paras pra-pandemik,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda