Laporan/foto: Suzilawati Kamarudin (Seremban)
SEREMBAN, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Pendengaran yang baik adalah anugerah penting dalam kehidupan seharian.
Banyak faktor yang mempengaruhi kemerosotan pendengaran kepada individu seperti faktor usia, pencemaran kepada kenyaringan bunyi yang tinggi mahupun lahir dengan masalah pendengaran.
Masalah pendengaran boleh dikesan melalui tindak balas individu kepada bunyi persekitaran dan suara.
Masalah ini juga boleh dibantu jika dirujuk kepada Pakar Telinga, Hidung dan Tekak(ENT) yang akan melakukan saringan pendengaran kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan dan kaunseling.
Penggunaan alat bantu dengar adalah antara alat yang disarankan untuk menguatkan bunyi bagi membantu pendengaran dan komunikasi yang baik.
Perkembangan semasa telah merubah kecanggihan alat bantu dengar sama ada dari segi bentuk mahupun fungsi yang ditambahbaik untuk kemudahan dan keselesaan pengguna.
Pelbagai jenis alat bantu dengar boleh dipilih mengikut kesesuaian pengguna seperti alat bantu dengar belakang telinga, alat bantu dengar dalam telinga dan alat bantu dengar dalam salur telinga.
Walau bagaimanapun, kos membeli satu unit alat bantu dengar bukanlah murah dan penjagaan yang betul perlu dititikberatkan kerana alat tersebut sensitif dan mudah rosak jika dibiarkan dalam keadaan tidak bersih dan lembap.
“Alat bantu dengar yang saya gunakan sekarang adalah dibiayai daripada Tabung Bantuan Perubatan(TBP) yang disediakan oleh kerajaan. Hanya menambah sedikit bayaran untuk membeli alat ini”. Kata Burhanuddin Ali ketika ditemubual berkenaan pembelian alat bantu dengar.
Pesakit yang telah diperiksa dan ingin memohon bantuan kewangan kerana kurang berkemampuan untuk pembelian alat bantu dengar juga boleh memohon bantuan yang disediakan oleh kerajaan melalui TBP, FELDA bagi pesakit yang tinggal di FELDA, PekaB40, Baitulmal dan beberapa agensi kerajaan yang disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Elakkan daripada membeli alat bantu dengar secara dalam talian kerana bukan sahaja dibimbangi ketidaksesuaian tapisan bunyi dengan pesakit malah dibimbangi menambahkan lagi kemerosotan pendengaran pesakit di masa akan datang,” kata Shazarina Othman, Audiologi.