Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

SC Perkenal Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021-2023

By 24 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Rabu mengeluarkan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021-2023 yang antaranya bertujuan meningkatkan pencapaian matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kepimpinan lembaga pengarah.

Keutamaan Strategik ini merupakan komponen penting Pelan Induk Pasaran Modal 3 yang dilancarkan pada September 2021 yang menyediakan hala tuju bagi pasaran modal Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutif, Datuk Syed Zaid Albar berkata ketika ekonomi global dan Malaysia pulih daripada pandemik COVID-19, penting untuk membangunkan kembali pasaran modal dengan lebih baik selain memastikan kesan ekonomi jangka panjang diminimumkan manakala cabaran ketaksaksamaan dan struktur sedia ada dalam ekonomi tidak bertambah buruk.

“Isu yang memecah belah ini mesti ditangani untuk membolehkan masyarakat dan sistem sosial kembali kukuh, dan perniagaan mesti memainkan peranan mereka dalam masyarakat, sebagai warga korporat yang baik dan mempunyai tujuan,” katanya ketika melancarkan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021-2023 pada Rabu.

Beliau menekankan bahawa tadbir urus adalah penting dalam persekitaran pascapandemik yang amat memerlukan.

Ia bermanfaat bagi langkah menentukan peranan pihak berkepentingan dalam perniagaan di samping memastikan bahawa apabila keputusan dibuat, kepentingan semua pihak berkepentingan dipertimbangkan, katanya.

Mengulas lanjut mengenai kerangka itu, Syed Zaid Albar berkata Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021-2023 tersebut merangkumi 11 inisiatif yang bertujuan menggalakkan lembaga pengarah yang cekap dan bertanggungjawab; memastikan ESG korporat dan kelayakan tadbir urus oleh lembaga pengarah, aktivisme pelabur dan pengawasan; menggiatkan penglibatan dengan belia dalam tadbir urus korporat serta meluaskan akses kepada data tadbir urus korporat.

Keutamaan Strategik itu dirumus berasaskan rancangan SC sebelum ini bagi 2017 hingga 2020, di mana skor pelaksanaan sebanyak 90 peratus telah dicapai.

Syed Zaid Albar berkata kesediaan pasaran modal dalam bidang ESG bukan lagi satu pilihan bagi syarikat, kerana pihak berkepentingan mengharapkan tingkah laku yang lebih bertanggungjawab, mampan dan memberi tumpuan kepada iklim.

“Harapan ini akan meningkat dari semasa ke semasa, oleh itu, lembaga pengarah perlu bersedia dari segi ESG dan mengenal pasti keperluan untuk mereka menjadi cekap dan berkesan ketika menghadapi tempoh mencabar dan tidak menentu.

“SC akan melaksanakan langkah untuk menambah baik kepelbagaian lembaga pengarah, termasuk mempercepat penglibatan golongan wanita dalam lembaga pengarah dan pengurusan kanan,” katanya.

Beliau mengingatkan syarikat tersenarai, walaupun lembaga pengarah wajib mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita, mereka perlu berusaha mencapai sasaran 30 peratus pengarah wanita dalam usaha meraih manfaat dengan mempunyai kepelbagaian dalam lembaga pengarah.

Pada masa ini, hanya 162 syarikat tersenarai mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah mereka.

Sementara itu, di samping Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat, SC turut mengeluarkan laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 untuk sorotan kemajuan yang telah dicapai dalam pengamalan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) edisi 2017.

Tahap pengamalan kebanyakan amalan kekal positif dengan 24 daripada 36 amalan terbaik merekodkan tahap pengamalan sekurang-kurangnya 90 peratus berbanding 23 amalan pada 2019.

Tahap pengamalan paling rendah adalah bagi amalan berkaitan dengan pendedahan imbuhan kepada pengurusan kanan iaitu hanya 5.0 peratus daripada syarikat tersenarai mendedahkan imbuhan terperinci pengurusan kanan mereka.

“Ketelusan mengenai gaji adalah penting untuk meningkatkan kesejajaran antara gaji dan prestasi dan untuk pemegang saham menilai sama ada struktur insentif memacu tingkah laku yang sewajarnya,” katanya.

Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 menampilkan tiga rencana tematik, termasuk laporan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) SC tentang demografi jawatankuasa audit dari segi kebebasan, kepelbagaian dan kecekapan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda