Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Sistem InfoBencana 2.0 Dilancar, Tingkat Aksesibiliti Info Bencana kepada Rakyat

By 21 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: JKM

PUTRAJAYA, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini melancarkan Sistem InfoBencana JKM 2.0 yang dinaik taraf bagi meningkatkan akses kepada maklumat berkaitan pengurusan bencana di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kenyataan JKM memaklumkan, pelancaran sistem itu yang merupakan aplikasi utama dalam pengumpulan dan pelaporan statistik mangsa bencana untuk kegunaan orang ramai dan pihak berkepentingan disempurnakan Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Kuantan, Pahang.

“Ia juga merupakan antara langkah inovatif bagi menghadapi Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula bulan lepas hingga Mac tahun depan agar memberi manfaat kepada semua pihak terutama ahli Keluarga Malaysia dalam menghadapi bencana,” demikian menurut kenyataan JKM di sini, hari ini.

Antara penambahbaikan Sistem Infobencana JKM 2.0 yang dikenali sebagai Sistem Info Banjir sejak 2015 termasuk penggunaan dwibahasa, menaik taraf paparan antara muka, integrasi bersama jabatan berkaitan pengurusan bencana seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Ukur serta Pemetaan Malaysia.

Turut dilaksanakan penambahbaikan modul pusat perpindahan, profil penduduk, bantuan pemulihan dan modul pengurusan stor serta tambahan maklumat baharu seperti info paras air sungai, maklumat jalan tutup dan senarai fasiliti penyimpanan bekalan.

Informasi terkini boleh diakses secara masa nyata melalui aplikasi InfoBencanaJKM yang boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apps Store selain laman sesawang http://infobencanajkmv2.jkm.gov.my.

Menurut JKM, akses yang cepat dan mudah kepada maklumat kritikal berkaitan bencana dapat memastikan tindakan pencegahan, rawatan dan sebagainya dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan serta membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan siap siaga.

Kenyataan itu memaklumkan, KPWKM melalui JKM sentiasa menyemak dan melakukan penambahbaikan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak dalam memastikan sistem tersebut sentiasa relevan dan terkini mengikut keperluan semasa.

“Penambahbaikan yang dibuat juga turut memastikan data yang lebih tepat dapat dijana sepanjang masa untuk tujuan pengagihan bantuan, penempatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan lain-lain.

KPWKM melalui JKM telah mengenal pasti dan menyediakan 5,731 PPS di seluruh negara yang mampu menampung 1.63 juta mangsa pada satu-satu masa dan daripada jumlah itu, 134 PPS berkapasiti besar, 1,970 sederhana dan 3,627 berkapasiti kecil.

“Bagi negeri Pahang, 778 PPS dikenal pasti yang boleh menempatkan 163,875 mangsa pada satu-satu masa.

Sementara itu, Rina dipetik sebagai berkata kementeriannya menjalinkan kolaborasi strategik bersama Institusi Pengajian Tinggi seperti Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia; Universiti Pertahanan Nasional Malaysia serta Yayasan Telekom Malaysia bagi meningkatkan pengurusan logistik dan bantuan bencana serta perkhidmatan telekomunikasi di PPS.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda