
Foto: Infografik Felda
PUTRAJAYA, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Penubuhan Waqaf Felda oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Menara Felda, di sini Jumaat ini (12 November) dijangka mampu membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengangkat institusi wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Sabrinah Adam berkata penglibatan sektor korporat dan badan berkanun seperti Felda dalam pemerkasaan institusi wakaf akan membantu merancakkan lagi penyumberan dana kepada usahawan di negara ini.
“Syarikat-syarikat korporat tidak semestinya perlu menubuhkan wakaf sendiri tetapi boleh menyumbang kepada Waqaf Felda atau institusi wakaf lain yang telah ditubuhkan.
“Ini akan mewujudkan satu ekosistem disempurnakan melalui konsep quadruple helix di mana kerjasama pihak kerajaan, institusi akademik, industri dan komuniti akan mengukuhkan proses penciptaan nilai yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Waqaf Felda ditubuhkan selepas Felda menerima pentauliahan mutawalli daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 21 September lepas.
Sabrinah berkata konsep wakaf korporat dilaksanakan Felda juga akan menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada pihak vendor dan kontraktor kecil selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu terutamanya bagi generasi baharu Felda.
Menurutnya, penubuhan Waqaf Felda ternyata bertepatan dengan Tema 1 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Menjana Semula Ekonomi yang memberi perhatian khusus untuk mengukuhkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam ekonomi serta meningkatkan keupayaan keusahawanan.
“Lebih menarik lagi, kerajaan turut memperkasa wakaf sebagai satu sumber kewangan bagi pembiayaan perniagaan. Ini pastinya akan mencambahkan lebih banyak peluang untuk usahawan-usahawan baharu menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya.
Beliau berkata institusi wakaf turut boleh membantu melestarikan ekosistem keusahawanan dengan program upskilling dan reskilling ke arah memperkasa bakat keusahawanan dalam kalangan perusahaan PMKS.
Pembentangan RMK12 oleh Ismail Sabri pada 29 Oktober lepas, memberi satu dimensi baharu dalam merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara selepas kelembapan akibat pandemik COVID-19.
RMK12 juga menjadi tunjang menyokong permulaan kukuh dalam menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan memberi tumpuan antaranya usaha mengupayakan perusahaan kecil dan sederhana untuk terus berdaya saing dan kompetitif sesuai dengan sumbangan besar sektor ini merangkumi hampir 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
— BERNAMA