
Laporan/foto : Nor Aziana Azreen Roslan/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
IPOH 1 Nov (Malaysiaaktif) – Penipuan cinta siber bukan perkara baharu yang dilaporkan oleh media, namun masih ramai lagi menjadi mangsa terutama golongan wanita namun golongan lelaki juga tidak terkecuali menjadi mangsa namun peratusan adalah kurang daripada 35 peratus jika dibandingkan dengan golongan wanita 65 peratus.
Mengguna platform laman sosial bagi mencari dan memperdayakan mangsa sehinggakan sanggup memberikan wang ringgit kepada ‘kekasih atas talian’ yang tidak dikenali .
Menurut Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, DSP Mohd Syafiq Jinuin Abdullah kebanyakkan penjenayah mensasarkan golongan wanita yang kesunyian yang sering berkongsi maklumat tentang diri di laman sosial terutama Facebook.
“Menjanjikan hadiah mewah seperti bag tangan, kasut dan barangan berjenama antara modus operandi penjenayah dalam menjerat serta memberi keyakinan kepada mangsa supaya melakukan transaksi perbankan atas talian ke dalam akaun bank, keldai akaun kerana barang tersebut ditahan oleh pihak berkuasa antara modus operandi yang digunakan oleh penjenayah.
“Walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh pihak berkuasa, pelbagai faktor punca kes penipuan cinta siber ini dan antara faktor utama adalah wanita mudah terpedaya dengan ayat manis, sikap ambil berat pasangan dan hadiah barangan mewah berjenama yang bakal diperolehi oleh mangsa,” katanya dalam sesi diskusi Influencer@Japen Edisi Perak Siri 9/2021 baru-baru ini.
Tambahnya, faktor malu untuk melaporkan kejadian dengan kadar segera kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas yakin tertipu membuatkan proses menyiasat, menjejak dan membuat tangkapan kepada penjenayah menjadi lebih sukar serta mencabar.
“Segera laporkan kepada balai polis berhampiran sekiranya anda yakin telah terjerat dengan penipuan cinta siber ini,” tegasnya.
Selain itu, orang awam boleh menghubungi talian Pusat Tindakan Penipuan CCID untuk menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan di talian 03-26101599/1559 selain memuat turun aplikasi Semak Mule CCID di telefon bimbit dengan buat semakan akaun bank sebelum sebarang transaksi dilakukan.
“Pelbagai usaha dan kempen dilakukan oleh pihak berkuasa terutama PDRM, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat, antaranya memberikan informasi melalui laman page facebook rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police,” ujarnya mengakhiri sesi diskusi ini.
~RJ~