
Laporan/foto: Suzilawati Kamarudin (Seremban) / JAKIM
SEREMBAN, 29 Dis (Malaysiaaktif) – Ibu bapa yang mempunyai anak-anak tahun lima dan tahun enam yang menduduki peperiksaan UPKK 2021 sudah mula membuat semakan keputusan secara dalam talian atau Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) sejak semalam. Debarannya sama seperti menunggu keputusan peperiksaan besar yang lain.
Walaupun pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran KAFA secara dalam talian di rumah (PDPR) , namun tidak menghalang kejayaan para pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan ini.
Fatimah Sham Ismail yang mempunyai dua orang anak yang menduduki peperiksaan UPKK meluahkan rasa syukur kerana kedua-duanya mendapat semua ‘A’ dalam lapan mata pelajaran peperiksaan tersebut. “ Anak-anak saya mengikuti semua kelas PDPR KAFA dan saya memastikan kesemua kerja rumah berkaitan disiapkan walaupun dalam PDPR. Sebagai ibu, saya juga memberi peluang anak-anak menyertai kelas tambahan Bahasa Arab sebagai persediaan. Anak yang sulung sepatutnya ambil peperiksaan tahun sebelumnya tetapi kerana Covid-19 beliau mengambil peperiksaan bersama adiknya pada tahun ini.”
UPKK pada tahun 2021 adalah berdasarkan Modul Penilaian Kelas KAFA (MPKAFA) yang dilaksanakan buat kali pertama dalam suasana Pelan Pemulihan Negara secara berfasa dengan melibatkan 6,163 pusat penilaian dan lebih 35,000 orang guru KAFA. Jumlah calon peperiksaan yang menduduki peperiksaan melonjak sehingga 222,528 orang murid tahun lima dan tahun enam yang tidak dapat menduduki UPKK pada tahun lalu ekoran ditunda kerana pendemik.
Sementara itu, memetik kenyataan Hakimah Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bahawa keputusan Pelaksanaan MPKAFA tahun ini meningkat dan memperlihatkan kemampuan murid menyampaikan respon kepada penilai dalam sesi penilaian yang dijalankan. Kejayaan bukan diukur melalui bilangan ‘A’ dan peperiksaan semata-mata, tetapi diterjemahkan melalui amalan dan cara hidup serta pembudayaan nilai dipelajari di kelas KAFA dalam kehidupan seharian.
JAKIM berharap menjadikan pendidikan KAFA sebahagian daripada tanggungjawab bagi melahirkan insan seimbang dari sudut pendidikan dan cara hidup sempurna. Penerapan nilai diterapkan dalam kelas KAFA untuk melahirkan anak yang mempunyai sahsiah mulia sebagai generasi pewaris masa depan negara,”
-FF