Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Kembali Turun Paras 4,000 Kes

By 5 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Jangkitan harian COVID-19 dalam negara kembali turun ke paras 4,000 apabila 4,896 kes baharu dicatatkan semalam berbanding 5,551 kes kelmarin.

Kali terakhir kes harian COVID-19 merekodkan angka pada paras 4,000 kes adalah pada 30 November lepas iaitu 4,879 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 4,878 adalah kes jangkitan tempatan manakala 18 lagi adalah kes import.

“Daripada keseluruhan kes baharu hari ini, hanya 79 kes dalam kategori tiga, empat dan lima manakala 4,817 lagi adalah kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi COVID-19, semalam.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit COVID-19 tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala kategori tiga, empat dan lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 4,676 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini adalah 2,561,230, manakala 490 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 269 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham memaklumkan empat kluster baharu dikesan hari ini dan jumlah kluster masih aktif adalah 227, selain nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat kelmarin adalah 0.97.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda