Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahMA

Sambutan Hari AIDS Sedunia 2021 Kedah

By 4 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 4 Dis (Malaysiaaktif) – Dalam usaha meningkatkan Matlamat Pembangunan Mampan untuk mengakhiri epidemik AIDS di negara ini menjelang 2030, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah menganjurkan Program Sambutan Hari Aids Sedunia 2021 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Chenang, Langkawi, di sini semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo, berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menetapkan bahawa 1 Disember setiap tahun sebagai tarikh sambutan Hari AIDS Sedunia bagi meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan HIV dan langkah-langkah pencegahan, rawatan serta penjagaan kesihatan kearah mengakhiri AIDS pada tahun 2030.

“Tema sambutan Hari AIDS Sedunia 2021 tahun ini adalah Akhiri Ketaksamarataan, Akhiri AIDS, Akhiri Pandemik dan tema ini membawa maksud pentingnya untuk kita bersama-sama menghapuskan ketaksamarataan supaya komuniti yang belum mendapatkan akses kepada perkhidmatan HIV untuk mendapat rawatan sekaligus menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030,” katanya lagi dalam ucapan perasmian.

“Kita juga sangat bertuah kerana Negeri Kedah telah terpilih untuk melaksanakan Island Getting To Zero HIV di Langkawi dengan komitmen dan kolaborasi pelbagai pihak dalam memastikan kejayaan projek di Langkawi khasnya dan umumnya di Malaysia.

“Jalinan kerjasama yang mantap dengan badan bukan kerajaan khususnya Majlis AIDS Malaysia (MAM) dan ahli-ahli gabungan seperti Persatuan Cahaya Harapan telah memainkan peranan penting dalam usaha untuk menurunkan jangkitan HIV/AIDS,” ujarnya lagi.

Wakil Pengerusi Jawatankuasa Pulau Langkawi Menuju Sifar, Haji Fuad Che Ani @ Abd Ghani, berkata, pelbagai usaha dan inisiatif telah dan sedang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkepentingan untuk mengawal penularan jangkitan HIV di Malaysia.

“Salah satunya adalah Projek Asean City Getting to Zero HIV dan Alhamdulilah  kerana Pulau Langkawi adalah pulau pertama terpilih bersama-sama dengan Bandaraya Melaka, Kuching, Kuantan, Kota Kinabalu dan Projek Segitiga Negeri Sembilan meliputi Bandar Seremban, Nilai dan Port Dickson untuk melaksanakan Projek Asean City Getting to Zero HIV,” katanya.

Salah seorang peserta pertandingan Calit-Calit Cantik, Nurul Nabilah Othman, 32, Kuah, berkata amat berterima kasih kepada pihak penganjur yang mengadakan program seperti ini kerana banyak mendapat manfaat kepada masyarakat di Langkawi.

Nurul Nabilah Othman, peserta Pertandingan Calit - Calit Cantik sempena Sambutan Hari Aids Sedunia 2021 semalam.

Nurul Nabilah Othman, peserta Pertandingan Calit – Calit Cantik sempena Sambutan Hari Aids Sedunia 2021 semalam.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan kerana ia sangat bermanfaat kepada masyarakat  tentang HIV dan AIDS dan dengan adanya program seperti ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat agar sama-sama mencegah dan membendung penularan AIDS dan HIV terutamanya di Pulau Langkawi,” katanya ketika ditemu ramah semalam.

Program yang berlangsung secara sederhana ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di sekitar dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Antara aktiviti-aktiviti yang berlangsung semalam  ialah pertandingan Mask Karaoke, Pertandingan Calit-Calit Cantik dan Kuiz Kahoot, perasmian Best Beach Booth @ Pantai Chenang dan persembahan selebriti Hafiz Hamidun.

Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Sektor Unit HIV, STI, HEP C, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Anita Suleiman, Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail, Pengarah Eksekutif Majlis Aids Malaysia, Parimelazhagan Ellan, Presiden Persatuan Cahaya Harapan Kedah/Perlis, Dato Dr Kamaruzaman Ali, Pengarah Hospital Sultanah Maliha, Dr Akmal Naziah Dato Haji Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah Unit AIDS/STI Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Azlina Azlan.

~RJ~

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda