
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
PORT DICKSON, 25 Dis (Malaysiaaktif) – 13 orang peserta turut serta dalam Lawatan Penanda Aras, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat ke Politeknik Port Dickson (PPD).
Pengarah PPD, Mohamad Isa Azhari berkata program ini akan menjadi agenda dan platform kerjasama yang unggul bagi membina jambatan perhubungan yang kukuh antara PPD dengan IPG Kampus Tun Hussein Onn.
“Selain itu, lawatan penanda aras ini juga serba sedikit memberikan info yang bermakna dan akan dijadikan rujukan oleh pihak IPG dalam merancang pembinaan bengkel kayu yang baru,” katanya ketika berucap dalam Lawatan Penanda Aras IPG Kampus Tun Hussein Onn ke Politeknik Port Dickson di sini, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, IPG Tun Hussein Onn juga bakal menjalankan aktiviti robotik dalam kalangan warganya kelak.
Sementara itu, Pensyarah Kanan IPG Kampus Tun Hussein Onn, Zanariah Mahyun berkata tujuan lawatan kali ini adalah untuk mendapatkan pendedahan tentang pengurusan dalam pelaksanaan pengajaran serta pembelajaran yang akan menjadi pencetus idea bagi membangunkan bengkel kayu pratikal di IPG.
“Selain itu, siri lawatan ini juga diharapkan dapat memenuhi keperluan pelajar di samping bertukar-tukar idea tentang amalan baik pengurusan bengkel.
Zanariah berkata, pihaknya turut berpeluang menimban ilmu kepakaran dan melihat aktiviti robotik yang dilaksanakan di PPD seterusnya menjalin secara kukuh ukhuwah sesama institusi.
Dalam pada itu, Razali Bakri, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik (TPSA) PPD, berkata sehingga kini PPD telah melahirkan seramai 41,874 pelajar yang bergraduat dan kadar kebolehpasaran (GE) PPD adalah sebanyak 90.75 peratus dalam mendapat pekerjaan, menyambung pengajian dan menjadi usahawan.
Ujarnya lagi, dengan pengiktirafan dan kejayaan yang diperoleh ini telah menjadikan PPD terkenal sebagai salah satu institut pengajian tinggi awam yang menjadi pilihan utama pelajar.
Terdahulu para peserta lawatan telah dibawa ke Bengkel Kayu Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) dan Bengkel Robotik Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM).
-FF