Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

KPWKM Sediakan Kaunselor di Semua PPS

By 25 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurul (Kuantan) 

KUANTAN, 25 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan khidmat kaunselor di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan yang terlibat bencana banjir.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun, khidmat kaunselor disediakan bagi memberi sokongan dari segi emosi mangsa yang terkesan akibat musibah banjir.

“Kaunselor ini membantu dari segi sokongan psikosial kerana mangsa-mangsa banjir ini bukan sahaja terjejas dari segi kewangan dan kehilangan harta-benda, tetapi mereka juga memerlukan sokongan dari segi emosi.

Sukarelawan JKM turut serta dalam aktiviti yang disediakan untuk mangsa banjir di PPS.

Sukarelawan JKM turut serta dalam aktiviti yang disediakan untuk mangsa banjir di PPS.

“Ada di kalangan mangsa banjir yang masih trauma dan takut dengan kejadian yang menimpa mereka dan kalau kita lihat, misalnya di PPS ini ada lebih 80 orang kanak-kanak ditempatkan di sini, oleh itu pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan di PPS yang mana ini adalah usaha-usaha yang kita jalankan bersama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS Wisma Belia, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Rina memaklumkan sebanyak 5,809 PPS telah dibuka setakat ini termasuklah PPS tambahan yang baru dibuka.

“Jika ikut senarai awal, PPS yang baru ini tidak berdaftar namun disebabkan keadaan mendesak, kita teruskan buka PPS memandangkan PPS sedia ada telah penuh dan bantuan akan terus diberikan kepada mangsa banjir.

“Ada juga mangsa banjir yang tidak tinggal di PPS kerana menumpang di rumah saudara mara, kita tetap agihkan bantuan kepada mereka,” ujarnya.

-AH-

 

Tinggalkan komen anda