
PUTRAJAYA, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Perjanjian lembaran terma Telekom Malaysia Bhd (TM) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi perkhidmatan pajakan gentian dengan nilai kontrak berjumlah RM2.0 bilion bagi tempoh 10 tahun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat telekomunikasi itu pada masa akan datang, untuk jangka panjang, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu telah mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas TM dengan harga sasaran tidak berubah, sementara menunggu perincian selanjutnya mengenai perjanjian itu.
“Kami memilih TM memandangkan ia dijangka menerima manfaat daripada penggunaan jalur lebar gentian berikutan pandemik di samping menjadi penggiat talian tetap utama negara. Kami yakin pertumbuhan perolehan kumpulan yang melibatkan kluster perolehan utamanya iaitu Unifi, TM One dan TM Wholesale akan kekal kukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
TM telah memeterai dokumen lembaran terma dengan DNB bagi perkhidmatan pajakan gentian yang mana TM akan menyediakan perkhidmatan bagi keperluan infrastruktur 5G DNB dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mempercepat pelancaran 5G di Malaysia.
Pada 11.03 pagi, saham TM meningkat empat sen kepada RM5.29 dengan 322,100 saham bertukar tangan.
— BERNAMA