Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Banjir di Pantai Timur, Pusat Pemindahan Dibuka di Kelantan, Terengganu

By 17 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Agensi Pengurusan Bencana Negara

PUTRAJAYA, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas mengakibatkan beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu dinaiki air, menyebabkan lebih 200 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di dua negeri itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia pagi ini mengeluarkan amaran peringkat bahaya dengan hujan sangat lebat berterusan di Kemaman, Terengganu dan Pahang, manakala amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan pula diramal di Kelantan, Terengganu dan Pahang melibatkan daerah Cameron Highlands, Lipis, Jerantut dan Pekan.

Amaran waspada peringkat kuning iaitu hujan berterusan dikeluarkan untuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang (Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera).

Di Kelantan, seramai 129 orang daripada 20 keluarga di Gua Musang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 pagi apabila rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan di daerah itu sejak tiga hari lepas.

Paras air Sungai Golok di Kampung Jenob kini melebihi paras bahaya apabila mencatat bacaan 23.88 meter (m) (bahaya: 23.5m) manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai melebihi paras amaran iaitu 23.77m (amaran 22.5m).

Dua sungai melebihi paras amaran iaitu Sungai Lebir di Kuala Koh, Gua Musang (72.14m); dan Sungai Kelantan di Kuala Krai (23.6m); manakala lima sungai lagi berada pada paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (7.76m); Sungai Kelantan di Kampung Karangan, Kuala Krai (31.86m); Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah (13.56m); Sungai Aring (69.81m); dan Sungai Relai di Jalan Felda Aring, Gua Musang (113.67m).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan daerah Gua Musang Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata dua PPS dibuka di negeri itu adalah Dewan Orang Ramai, Chiku 7 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi (1) yang mula diaktifkan pukul 9 pagi ini.

“PPS Dewan Orang Ramai, Chiku 7 menempatkan 102 orang melibatkan 16 keluarga manakala PPS SK Limau Kasturi (1) pula menempatkan empat keluarga membabitkan 27 orang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Yussalmi berkata beliau menjangkakan jumlah mangsa banjir di dua PPS itu akan bertambah memandangkan hujan masih berterusan di kawasan itu.

Di TERENGGANU, Sekolah Kebangsaan Kasar, Hulu Nerus di daerah Setiu merupakan PPS pertama yang dibuka pada 1.30 pagi ini bagi menempatkan empat orang daripada satu keluarga, manakala PPS kedua yang dibuka ialah Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di Dungun yang menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga.

“Ketika ini, hujan lebat di beberapa kawasan dan kami menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa peka dan berpindah segera apabila diarahkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu.

Paras air di dua sungai di Terengganu juga melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Pasir Raja yang merekodkan bacaan setinggi 37.56m (bahaya 37.5m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman yang mencatat bacaan 18.89m (bahaya 18.5m).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda