
Foto: Facebook Dr Adham Baba
PUTRAJAYA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Program Rintis Sandbox Lebuhraya Pintar dilancarkan hari ini menyediakan medium inovasi yang membolehkan integrasi teknologi dilaksanakan bagi urusan penyelenggaraan lebuh raya PLUS di seluruh negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata selain itu program berkenaan adalah sebuah inisiatif untuk mempercepatkan pendekatan inovatif dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya menerusi penggunaan teknologi.
“Kerjasama strategik ini wujud untuk memastikan PLUS selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan teknologi berketepatan tinggi dan efisien dalam pengurusan penyelenggaraan lebuh raya di Malaysia,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran program berkenaan di Persada PLUS, di Petaling Jaya, hari ini.
Program berkenaan merupakan inisiatif oleh Plus Malaysia Berhad (PLUS) bersama-sama Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) sebagai sekretariat utama mewakili Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).
Beliau berkata lebuh raya pintar akan berkonsepkan gabungan pelbagai peranti Internet Benda (IoT) untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan keselamatan pemandu serta pejalan kaki dan penggunaan tenaga bersih untuk menggalakkan kelestarian.
“Malaysia harus mengambil peluang ini untuk menerokai teknologi-teknologi baharu khususnya oleh bakat tempatan yang mampu meningkat keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya,” katanya.
Sempena pelancaran itu, satu Memorandum persefahaman (MoU) antara PLUS dan MaGIC iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dimeterai dengan disaksikan Dr Adham.
Pada majlis sama Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi memberi taklimat mengenai perancangan `Lima Tahun Teknologi Pintar’ program berkenaan bagi merealisasikan kerjasama tersebut.
Zakaria berkata rancangan lima tahun itu merangkumi automasi pengesanan kecacatan cerun, automasi pengesanan kerosakan jambatan pada 2022, automasi pengesanan kerosakan (jalan) (2023), pengesanan perkhidmatan trafik automatik dan pengesanan objek asing (2024), seterusnya mencapai automasi sepenuhnya menjelang 2025.
Sememtara itu, PLUS juga merancang meningkatkan pelaburannya bagi mencapai tahap optimum inovasi dalam industri lebuh raya termasuk menggunakan analisis video dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
— BERNAMA