Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PDRM Tubuh Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan

By 6 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Kementerian Dalam Negeri

PUTRAJAYA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia akan menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan bagi menyiasat kes kematian melibatkan tahanan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzaah Zainudin berkata unit itu akan dianggotai 12 anggota polis dan seorang kakitangan awam.

“Unit ini akan mula beroperasi pada 1 Januari tahun hadapan dengan diketuai seorang pegawai polis berpangkat Supt, mulai tarikh ini semua kematian melibatkan tahanan akan dikendalikan oleh unit ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri Dalam Negeri di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata unit baharu yang ditubuhkan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM itu akan menumpukan kepada aspek liabiliti jenayah, kewajipan berjaga-jaga (duty of care) dan pematuhan Prosedur Operasi Standard.

Hamzah berkata beliau percaya dengan penubuhan unit berkenaan imej dan integriti pasukan polis akan dapat dipertingkatkan.

Dalam pada itu Hamzah menafikan terdapat unsur perkauman membabitkan kes kematian dalam tahanan dan berkata dari 2015 sehingga sekarang sebanyak 82 kes mati dalam lokap dilapor melibatkan 42 tahanan Melayu; Cina (13); India (15); dan warga asing (12).

Beliau berkata KDN juga sedang melakukan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mendapat peruntukan agar Orang Kena Tangkap boleh dihantar ke klinik swasta bagi menjalani pemeriksaan kesihatan awal sebelum dimasukkan ke lokap.

“Sebelum ini tahanan hanya boleh diperiksa oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan dan ia mengakibatkan kelewatan akibat jumlah mereka yang ramai,” katanya.

Terdahulu pada pelancaran program itu, Hamzah berkata fungsi Pos Kawalan Keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai balai polis seperti dilaksana di Sabah dan Sarawak, akan diperluas ke seluruh negara dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata sebanyak 11 pos kawalan keselamatan PGA di dua negeri berkenaan terlibat dalam projek rintis itu, iaitu sembilan di Sabah dan dua di Sarawak.

“11 pos kawalan ini boleh menerima laporan polis, laporan kematian dan kelahiran bagi memudahkan penduduk yang tinggal di pedalaman yang sebelum ini terpaksa melakukan perjalanan sehingga lima jam untuk ke balai polis terdekat bagi tujuan itu,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda