
Laporan/foto: Maherah Marina Mahusin/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Masyarakat di Daerah Kuala Terengganu menyambut baik pengumuman oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman bagi tawaran pengurangan kompaun saman sehingga 80 peratus bersempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Dalam kenyataan tersebut, orang ramai boleh membayar saman dengan kadar 80 peratus bagi saman-saman terpilih di seluruh kaunter Trafik dan aplikasi Mybayar Saman bermula hari ini hingga 12 Disember ini, iaitu selama empat hari.
Razak Tahir, 68, seorang pesara berkata dia amat teruja apabila mendapat tahu berkenan diskaun 80 peratus bagi seluruh negeri bersempena aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia.
“Saya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Cawangan Trafik seawal pagi dan saya melihat sambutan yang amat menggalakkan dan luar biasa daripada orang ramai yang hadir bagi membayar saman tertunggak,” katanya.
Manakala bagi Rashidah Daud, 24, peniaga atas talian, berkara tawaran sebegini ditunggu-tunggu oleh orang ramai bagi menjalankan tanggungjawab untuk membayar saman kerana peluang ini menunjukkan keprihatinan kerajaan di saat rakyat terkesan dengan pandemik COVID-19.

Rashidah Daud, 24 , peniaga atas talian tawaran menunjukkan keprihatinan kerajaan di saat rakyat terkesan dengan pandemik COVID-19.
Rahidayu Ali, 35, peniaga kedai hardware pula berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan perkhidmatan pembayaran saman bagi menggalakkan lagi orang ramai untuk membayar saman.
“Kita dapat lihat situasi hari ini orang ramai mula menyerbu kaunter saman sehingga berlaku sedikit kesesakan,” katanya.
Tambah Rahidayu, dia bagaimanapun berasa lega apabila hari cuti mingguan pada jumaat dan sabtu ini, kaunter perkhidmatan pembayaran saman trafik di buka bagi membolehkan pembayaran saman dilaksanakan.
Bagi Akhdan Muzri Shaari, 29 yang berkhidmat sebagai penjawat awam berharap peluang ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang terlibat dalam menyelesaikan saman yang tertunggak.
“Pembayaran saman juga sebagai tanggungjawab kita sebagai warganegara dalam Keluarga Malaysia ini,” katanya mengakhiri perbualan.