
Laporan foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Adat Berkodim, iaitu salah satu adat yang mana masih lagi diamalkan oleh masyarakat yang menitik beratkan tentang adat perpatih, terutamanya di Luak Johol ini.
Berkodim, dalam ertikata masuk suku atau satu jalinan ikatan kekeluargaan antara individu dari suku A atau orang luar yang tidak mempunyai suku ke keluarga yang bersuku B, juga dikenali sebagai masuk kumpulan suku.
Majlis Berkodim pada 8 Januari 2022, menyaksikan Cahaya Qaseh Malaeka Abdul Muiz masuk suku di sebelah pihak bapanya iaitu Suku Raja Balang yang mana beliau akan mewarisi tanah adat yang bakal diserahkan kepadanya.
“Majlis Kerapatan Adat telah bersetuju untuk mengambil Cahaya Qaseh Malaika untuk dianakangkatkan kepada ibu soko Suku Raja Balang iaitu Norsiah Hamzah,” kata Hamzah Limin, Dato’ Raja Balang.
“Di Johol, bagi Majlis Adat Berkodim ini, yang mana dinamakan Kodim Aur Serumpun, majlis adatnya hanya perlu menyembelih seekor kambing dan ditambah senaskhah Al-Quran sebagai tanda penerimaan masuk suku oleh Buapak atau ketua Suku Raja Balang,” menurutnya lagi
Bagi Hj Mohd Yusof Sudin, bapa kepada Cahaya Qaseh Malaeka berkata, “Saya berasa bersyukur apabila anak saya dapat dikodimkan pada hari ini, dengan persetujuan oleh Buapak dan Ibu Soko dari Suku Raja Balang.”
“Keikhlasan keluarga yang menerima anak yang dikodimkan diibaratkan sebagai memelihara hak anak perempuan yang mana ibunya bukan di kalangan suku berkenaan, dan saya berharap agar peranan dan hak anak saya senantiasa terpelihara,” katanya lagi semasa ditemui selepas majlis.
Majlis juga turut disertai oleh Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs Shamsuddin Ahmad serta semua Dato’ Penyandang Pusaka Adat Luak Johol.
-FF