Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

PPK Merlimau Bakal Bekal Hasil Pertanian Untuk Peladang Outlet PPK Kluang

By 10 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norsaedah Haron/Siti Nur Nadiah Shaari (Kluang)

KLUANG, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Satu jaringan kerjasama dan persefahaman di antara Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang dan PPK Merlimau telah dimeterai menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Pemasaran Hasil Pertanian bagi memantapkan lagi pemasaran hasil pertanian.

Menurut Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Kluang Mohd Hafiz Azmi, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kluang berperanan membantu petani untuk meningkatkan pendapatan melalui pengurangan penggunaan orang tengah.

“PPK turut menumpukan pasaran secara terus ke pasar raya dan kedai runcit yang tidak akan melalui pemborong.

Upacara bertukar MOU antara Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Kluang dan Merlimau.

Upacara pertukaran MOU antara Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Kluang dan Merlimau.

“70 peratus pasaran PPK Kluang adalah bertumpu di pasar raya seperti Songmart, Target dan KS Mart manakala 20 peratus lagi melibatkan pasaran di kedai runcit,” katanya ketika menyampaikan taklimat perkongsian pengalaman pengoperasian Peladang Outlet PPK Kluang di Dewan Ibuku’ Halimah, Taman Kluang Perdana, di sini, semalam.

Tambah beliau, baki 10 peratus lagi adalah barangan lebihan yang akan dijual kepada pemborong sebagai pilihan terakhir jika terdapat lambakan hasil yang tidak dijual.

“Peladang Outlet PPK Kluang kini telah memasarkan lebihi 90 jenis hasil pertanian yang terdiri daripada sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan, produk ayam dan daging segar serta produk Industri Kecil Sederhana (IKS).

Para jemputan di bawa melawat ke Peladang Outlet PPK Kluang.

Para jemputan melawat Peladang Outlet PPK Kluang.

“Pada tahun 2021, Peladang Outlet PPK Kluang telah menerima Anugerah Pemasaran terbaik peringkat Negeri Johor dan Anugerah Inovasi Pemasaran Peringkat Kebangsaan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa PPK Kluang juga akan mendirikan sebuah pasar peladang bagi melengkapkan rantaian pemasaran hasil-hasil pertanian dari ladang terus kepada pengguna.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara PPK Kluang dan PPK Merlimau telah disaksikan oleh Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor Datuk Sawalludin Ahmad dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Melaka Ahmad Fuad Zakaria.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kluang Misbah Misran, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Merlimau Datuk Abdul Kalam Hassan, Pengurus Besar PPK Merlimau Md Jani Nordin serta barisan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Kluang dan Merlimau.

-NI-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda