Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

EDAM PERAK Rawat Kesihatan Mangsa Bencana

By 28 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Hafif Zainurdin/Mohamad Asri Awang Ya (Hulu Langat)

HULU LANGAT, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Sukarelawan yang diketuai Pertubuhan Pembangunan Pendidikan dan Pengurusan Komuniti Perak (EDAM PERAK) mengambil inisiatif membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Kampung (Kg.) Sungai Lui dari segi rawatan dan pemeriksaan kesihatan asas serta pemeriksaan psikiatri.

Menurut Setiausaha EDAM PERAK, Khairul Effendy Abdul Halim, seramai 100 orang sukarelawan yang hadir dibahagikan kepada empat kumpulan besar bagi bergerak ke empat kawasan iaitu Kg. Batu 19, Kg. Batu 20, Kg. Batu 21 dan Kg. Batu 22.

“Dalam Misi Bantuan Pasca Banjir Komuniti Sungai Lui selama dua hari bermula kelmarin, mereka menyasarkan untuk menziarahi sebanyak 160 buah rumah bagi membantu seramai mungkin individu yang memerlukan.

Sumbangan kewangan kepada mangsa banjir.

Sumbangan kewangan kepada mangsa banjir.

‘’Daripada empat kumpulan tersebut, mereka akan dibahagikan lagi kepada empat kumpulan kecil seramai lima ke enam orang setiap kumpulan untuk bergerak ke rumah-rumah sekitar, di mana setiap kumpulan kecil akan pergi ke lima buah rumah sehari.

‘’Sukarelawan akan membawa bersama borang pemeriksaan kesihatan untuk diisi oleh mangsa. Jika selepas pemeriksaan mereka memerlukan rawatan lanjut, pihak kami akan merujuk mangsa ke fasiliti kesihatan yang terdekat dan bersesuaian sama ada klinik kesihatan atau hospital awam,’’ katanya ketika ditemui di Masjid Ar-Rahman yang menjadi pusat koordinasi program, di sini semalam.

Menurut seorang sukarelawan, Norhazatul Nabila Abu Hasan, 23, beliau sangat teruja mengikuti misi ini dan berharap khidmatnya dapat membantu mereka yang memerlukan sokongan terutamanya dalam aspek kesihatan.

Norhazatul Nabila Abu Hasan.

Norhazatul Nabila Abu Hasan.

“Ketika pensyarah mencari sukarelawan bagi program ini saya dan rakan sekelas tanpa berfikir panjang terus menghantar nama kami, syukur juga perjalanan kami dan program ini dipermudahkan oleh pihak-pihak yang berkaitan termasuk jawatankuasa kampung di sini.

’’Selain khidmat kesihatan kami juga turut membantu mangsa dengan memberi sumbangan kewangan dan barangan asas. Kami mendoakan agar mangsa terus tabah menghadapi bencana banjir besar tempoh hari,’’ ujar gadis kelahiran Negeri Sembilan ini.

Misi ini juga turut disertai oleh beberapa agensi lain iaitu Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Masjid Sayyidina Umar Ibni Khattab Tambun, Surau Al-Husna Taman Impiana dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Impiana.

-RI

Tinggalkan komen anda