PUTRAJAYA, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Peminat sukan tanah air berpeluang mengikuti detik-detik menarik Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 bermula 4 hingga 20 Februari apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi penyiar rasmi temasya sukan itu.
RTM akan membawa siaran langsung upacara perasmian pada 4 Februari di saluran TV2 dan Sukan RTM serta saluran 111 Myfreeview dan menerusi laman sesawang rtmklik.rtm.gov.my pada 7.55 malam, menurut kenyataan stesen penyiar itu.
Penonton dapat mengikuti laporan harian Beijing 2022 yang disiarkan dalam tiga sesi setiap hari menerusi saluran Sukan RTM bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari, 2 hingga 5 petang dan 8 hingga 10 malam manakala rangkuman harian Olimpik Musim Sejuk akan bersiaran pada 8 pagi dan 11 malam.
Tumpuan utama sudah pasti terhadap acara ski alpine yang menyaksikan penyertaan dua atlet Malaysia iaitu Jeffrey Webb, 23, dalam kategori slalom lelaki dan Aruwin Idami Salehhuddin, 17, bagi kategori slalom serta giant slalom wanita.
“Pengulas terbaik RTM Rasdi Jumaat, Syafiq Asyraf dan Dr Harmi Taazim bakal memberi ulasan sepanjang temasya Olimpik ini berlangsung.
“RTM akan terus menjadi organisasi media yang peka dan maklum dengan kehendak rakyat Malaysia yang mahu mengikuti perkembangan atlet Malaysia di Beijing 2022,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, RTM turut menyiarkan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeong Chang, Korea Selatan.
— BERNAMA