
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Cabaran dalam mendidik anak-anak pada masa sekarang menjadi sukar dengan adanya anasir-anasir yang tidak baik berlegar dalam masyarakat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Senaling, Dato’ Hj Adnan Abu Hassan, cabaran masa kini adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak dengan adab serta tatasusila dalam menghadapi masa depan.
“Adab daripada ibu bapa adalah teras yang paling utama yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak kita ini, dari kecil lagi.
“Saya yakin apa yang disampaikan oleh penceramah pagi tadi, Ustaz Norazman Amat dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sedikit sebanyak dapat memberikan panduan cara-cara untuk mendidik anak-anak pada zaman millenium sekarang ini.”
Beliau ditemui selepas program Semarak Desa, Family On Alert anjuran Kemas Dun Senaling dengan kerjasama Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Pilah dan FELCRA Temeris.
Program diserikan lagi dengan pertandingan mewarna kanak-kanak Tabika Kemas Kampung Temeris, serta ceramah yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah merangkap Ketua Kaunselor Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan Jabatan Zakat MAINS, Hj Norazman Amat.
Turut hadir di majlis ini Pegawai AADK Daerah Kuala Pilah, Rozita Muhammad Rusli dan Pegawai Kemas Daera Kuala Pilah, Rozana Omar.
-ZS-