
Laporan/foto: Dayang Nur Hafizah Datu Abdul Rasid/Dora Perada Bernadus (Sabah)
KOTA KINABALU, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Ilmu Asas Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) adalah prosedur kecemasan yang mampu menyelamatkan nyawa.
Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Queen Elizabeth II Dr Samsul Tuah berkata ilmu itu perlu didedahkan kepada masyarakat agar mampu melakukan langkah awal kecemasan sementara menunggu ketibaan kakitangan terlatih atau paramedik.
“Prinsip pertolongan cemas adalah untuk menyelamatkan nyawa mangsa serta mengelakkan keadaan bertambah teruk.
“Oleh itu penganjuran Program CPR Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat Putatan pada hari ini perlu diteruskan agar orang awam dapat melakukan langkah-langkah asas sekiranya berlaku situasi kecemasan,” ujarnya ketika ditemui media di sini, pada Isnin.
Seramai 40 peserta menyertai program anjuran Sekretariat Muafakat Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Kelab Sukan HQE II yang turut memberi pengisian demonstrasi serta praktikal mengenai CPR.
-ZS-