
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Proses menaik taraf operasi di seluruh 79 buah tadika di bawah kelolaan MAIWP sedang giat dilakukan secara berkala.
Menurut Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan Md Fadzli Md Saad, MAIWP sentiasa ingin memberikan yang terbaik kepada murid-murid di bawah Institusi Pendidikan MAIWP termasuklah Tadika Permata MAIWP.
“MAIWP telah melakukan penukaran nama Tadika MAIWP yang sebelum ini dikenali dengan nama Tadika Islam MAIWP kepada nama baharu iaitu Tadika Permata MAIWP, ini merupakan salah satu daripada inisiatif MAIWP melalui Bahagian Pembangunan Insan untuk menaik taraf operasi tadikanya.
“MAIWP akan sentiasa melakukan yang terbaik bagi membantu pembangunan modal insan masyarakat Islam seperti melakukan pengecualian bayaran yuran bulanan Tadika Permata MAIWP dan beberapa institusi pendidikan lain yang sepatutnya dibayar semasa penutupan Institusi akibat pandemik COVID-19 yang lalu,” katanya semasa merasmikan Majlis Konvokesyen Tadika Permata MAIWP Labuan Tahun 2021, di Kompleks Darul Kifayah pagi tadi.
Beliau turut berharap proses naik taraf selepas ini juga dipermudahkan urusannya agar MAIWP dapat menghasilkan pelajar-pelajar yang berkualiti di Institusi MAIWP bermula dari tadika sehinggalah di peringkat yang lebih tinggi yang boleh dibanggakan suatu hari nanti.
-ZS-