
Laporan/foto: Md Sazali Ab. Hamid (Pengkalan Hulu)/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
PENGKALAN HULU, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Penyerahan baton Jalur Gemilang konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) Kedah kepada KMKM Perak di Memorial Tragedi Kroh/Betong membangkitkan suasana istimewa kerana turut diraikan oleh Delegasi Pentadbiran Daerah Betong, Wilayah Yala, Thailand.
Menurut Ketua Penolong Pegawai Daerah Pengkalan Hulu Safuan Salleh delegasi ini dijemput untuk turut serta memandangkan kedua-dua negara pernah bekerjasama menangani pengganas komunis di sempadan suatu ketika dulu.
“Hari ini kita menyambut baton KMKM yang dibawa dari Kedah sebagai simbolik kempen kibar Jalur Gemilang di seluruh negara dan mengenang tragedi berdarah yang pernah berlaku di sekitar kawasan ini,” ujarnya ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia Daerah Pengkalan Hulu, pada Ahad.
KMKM Perak menamatkan siri jelajahnya selepas menyerahkan baton Jalur Gemilang kepada KMKM Kelantan di Sekolah Kebangsaan RPS Banun, Gerik semalam.
-ZS-