
Laporan/foto: Eviannie Kin/Tourism Malaysia Sabah
KOTA KINABALU, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Para pelancong yang melawat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kini boleh mendapatkan risalah pelancongan ‘SeeEatFood Trail Fun Map’ untuk senarai pilihan restoran makanan laut.
Pengarah Tourism Malaysia (TM) Sabah Ednie Rahma Ab. Rahim berkata risalah pelancongan bertemakan gastronomi itu turut memaparkan produk pelancongan di sekitar negeri ini termasuk Labuan yang baru sahaja dilancarkan hari ini.
“Penerbitan risalah Sabah & Labuan ‘SeeEatFood’ Trail Fun Map ini diharap dapat menjadi rujukan kepada pelancong-pelancong yang berkunjung ke Sabah dan Labuan bagi memudahkan mereka membuat pilihan untuk menikmati sajian makanan laut di restoran-restoran yang tersenarai.
“Pengguna telefon pintar hanya perlu mengimbas kod QR bagi mendapatkan risalah ini secara digital sama ada di laman sesawang Tourism Malaysia di www.malaysia.travel, akaun Facebook Tourism Malaysia Sabah atau di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Majlis pelancaran risalah tersebut diadakan bersempena lawatan suai kenal (FAM Trip) selama empat hari tiga malam ke Sandakan bermula 31 Julai lalu melibatkan 26 peserta terdiri daripada 12 wakil media, lima agensi pelancongan dari Persatuan Pelancongan Sabah serta pegawai-pegawai dari Tourism Malaysia, Malaysia Airlines dan MASwings.
-ZS-