
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Para belia di pulau itu diseru untuk membudayakan sikap prihatin terutama terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias, program-program yang dapat menyelami denyut nadi rakyat perlu diteruskan dari masa ke masa.
“Usaha-usaha murni ini perlu kita galakkan dalam masyarakat dan bagi membentuk aset belia yang berkualiti untuk menjamin masa depan negara yang lebih baik,”katanya selepas mengikuti Program Teguh Bersama Sukarelawan Belia Kitani anjuran Majlis Belia Labuan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Labuan semalam.
Pada program itu, kira-kira 50 penunggang motosikal berkonvoi menyampaikan bantuan bakul makanan dan menjalankan aktiviti membaiki rumah asnaf di beberapa lokasi sekitar Labuan.
Menurut Presiden Majlis Belia Labuan, Abdul Mutalib Sahari, program itu juga bertujuan untuk meraikan Hari Malaysia dan mempromosi Hari Belia Negara.
“Kita ingin menerapkan sifat Sukarelawan dalam kalangan belia dan membantu pihak kerajaan menggembleng tenaga membantu masyarakat yang kurang berkemampuan,” jelasnya.
-ZS-