
Laporan/foto: Rose Rasidi
CAMERON HIGHLANDS, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Cameron Highlands amat sinonim dengan keadaan cuaca yang hujan setiap hari, namun keberkatan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 tahun ini dalam keadaan cuaca yang sangat baik, cerah dan terang benderang.
Menurut Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, ketika ditemui di sini semalam berkata sambutan pada kali ini amat meriah dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, aktivis NGO serta pelajar-pelajar sekolah.
“Sebanyak 1330 peserta mengambil bahagian iaitu 38 kontinjen perbarisan, 14 kereta berhias jabatan serta pelbagai acara dan persembahan seperti persembahan Silat Gayung, tarian joget Pahang, tarian tradisional India, tarian sewang Orang Asli, gendang cina, sajak, acara sukan rakyat, plogging, pameran, saringan kesihatan, pertandingan mewarna dan gubahan bunga,” ujarnya yang turut menyatakan bahawa banyak rekod baharu dicapai dalam sambutan kemerdekaan pada kali ini.
-ZS-