
Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Sheikh Mohamed Nazim (Segamat)
SEGAMAT, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Pelepasan ikan pemangsa seperti ikan keli boleh mengganggu ekosistem sungai kerana ikan asing ini boleh membiak di perairan umum dan menjadi pemangsa kepada ikan asli yang sedia ada di perairan.
Menurut Noridayu Alias, Ketua Daerah Perikanan Segamat, melepaskan ikan asing ini mengancam ekosistem perairan tempatan dan menjejaskan ekonomi nelayan darat.
“Ikan asing yang bersifat pemangsa ini tidak sesuai berada di perairan sungai kita kerana ia mewujudkan persaingan dengan ikan tempatan dalam mencari makanan dan menjadikan ikan tempatan sebagai sumber makanan kepada ikan pemangsa ini,” katanya selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat pelepasan benih ikan ke Sungai Muar, Jambatan Putus, Buloh Kasap, di sini baru-baru ini.
Sebanyak 100,000 ekor benih lampam dan 30,000 ekor benih baung telah dilepaskan melalui Program Pelepasan Benih Ikan Di Perairan Negeri Johor dibawah Jabatan Perikanan Negeri Johor bagi meningkatkan stok perikanan di Sungai Muar, Buloh Kasap, disamping meningkat ekonomi bagi sektor pelancongan, pemborong ikan serta peniaga makanan berasaskan ikan darat.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar dan Pegawai Daerah Segamat Hasrin Kamal Hashim.
-ZS-